Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Siap-Sedia Untuk Berperang – Kata Xi Jinping Pada Tentera China

0 3,504

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, Presiden China Xi Jinping sedang melakukan lawatan ke Guangdong bagi meraikan sambutan ke-40 tahun zon ekonomi khas Shenzhen.

Ketika meninjau sebuah pengkalan tentera di Shantou, yang terletak di wilayah Guangdong, Xi yang juga merupakan pemerintah tertinggi tentera China telah mengarahkan pasukan Marin negara itu supaya bersiap-sedia untuk berperang.

Adakah ini menandakan bahawa China kini semakin hampir kepada peperangan.

Presiden China
Presiden China Xi Jinping memakai uniform tentera ketika memeriksa peralatan tenteranya. (sumber internet)

Mungkin juga,  berdasarkan ketegangan hubungannya dengan Amerika Syarikat di dalam pelbagai isu, daripada Taiwan kepada Laut China Selatan.

Presiden China itu juga memberikan nasihat kepada pasukan Marin negara itu supaya meningkatkan persediaan mereka ke tahap tertinggi.

“(Anda semua) perlu memfokuskan minda dan tenaga untuk bersedia bagi berperang. Anda semua harus bersedia,” kata Presiden China itu, sebagaimana dipetik oleh stesen televisyen negara, CCTV.

Pasukan Marin katanya, mempunyai pelbagai misi dan kehendak juga adalah pelbagai.

Marine
Anggota tentera Marin China bersama senjata mortar mereka dalam satu latihan. (sumber internet)

“Oleh itu latihan anda semua perlu berdasarkan kepada persiapan untuk pergi berperang. Anda juga harus meningkatkan tahap latihan anda dan kemampuan kombat anda semua, “ katanya.

Presiden China itu berkata, pasukan Marin negara itu perlu memikul tanggungjawab penting dalam memelihara kedaulatan wilayah China dan kepentingan maritim negara itu sama ada di dalam negara atau luar negara.

Kepentingan maritim China di luar negara itu berkemungkinan besar merujuk kepada Taiwan dan Laut China Selatan.

Sekiranya konflik ketenteraan berlaku sama ada berkenaan isu Taiwan atau Laut China Selatan, antara pasukan tenteranya yang paling awal ke hadapan adalah anggota Marin yang sudah semestinya ditugaskan untuk mendarat di pantai-pantai wilayah musuh atau diterjunkan ke wilayah musuh menggunakan payung terjun.

Marine
Anggota tentera Marin tentera China. (sumber internet)

Sejak beberapa bulan lepas, pasukan marin China telah dikerah menjalani pelbagai latihan di sekitar Pulau Hainan melibatkan pendaratan di pantai-pantai dan seterusnya menakluk pulau terbabit.

Menurut penganalisis, senario latihan pasukan Marin China itu sebenarnya menggambarkan pendaratan di Taiwan sekiranya peperangan tercetus di antara China dengan wilayah yang masih dianggap sebahagian daripadanya.

Kenyataan keras Presiden Xi meminta pasukan marinnya bersiap-siap sedia untuk berperang itu timbul ketika Amerika Syarikat memaklumkan Kongres negara itu tentang hasratnya untuk menjual lebih banyak senjata kepada Taiwan.

Makluman tentang perjualan senjata terbaru ke Taiwan itu melibatkan pesawat tanpa pemandu MQ-9 Reaper buatan syarikat General Atomics dan kira-kira 100 buah peluru berpandu Harpoon yang bakal digunakan sebagai sistem pertahanan pesisir pantainya.

Mq Reaper
Sistem UAV “MQ-9 Reaper” buatan syarikat General Atomics. (sumber internet)

Selain itu, Amerika Syarikat bercadang membekal Taiwan dengan peluru berpandu udara ke darat “SLAM-ER”, sistem roket berganda “HIMARS” dan sistem pod sensor untuk pesawat-pesawat F-16 Taiwan.

Kesemua penjualan ini dianggarkan bernilai US$5 bilion.

Harpoon
Peluru berpandu Harpoon. (sumber internet)

China seperti biasa membantah penjualan senjata ini dan memberi amaran akan “kesan buruk” sekiranya Washington meneruskan langkah itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...