Pengkalan Laut China di Asia Tenggara Hampir Jadi Kenyataan

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Nampaknya spekulasi mengatakan Kemboja bakal membenarkan China untuk membina sebuah pengkalan laut di negara Asia Tenggara itu semakin menjadi realiti.
Ini selepas Kemboja merobohkan beberapa bangunan di Pengkalan Tentera Laut Ream yang dibina menggunakan peruntukan Amerika Syarikat, menurut imej satelit yang diperolehi oleh Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) pada 1 Oktober lepas.
AMTI yang memantau tindak-tanduk Beijing di Laut China Selatan menyatakan tindakan merobohkan bangunan-bangunan itu berlaku selepas 5 September.
Tindakan kerajaan Phnom Penh pimpinan Perdana Menteri Hun Sen merobohkan bangunan-bangunan yang dibina menggunakan wang Amerika Syarikat itu seakan mengesahkan bahawa pengkalan laut strategik itu akan disewakan kepada China.
Jika itu benar, maka China buat pertama kalinya akan mempunyai pengkalan laut dalam Asia Tenggara, sekaligus merealisasikan matlamat teori “String of Pearls.”

Bangunan yang dimusnahkan oleh Kemboja bulan lepas itu telah dirasmikan pada 2012 dan 2017 hasil peruntukan kewangan oleh Amerika Syarikat.
Pada 2019, media antarabangsa melaporkan bahawa China dan Kemboja telah menandatangani perjanjian rahsia memberikan Beijing akses kepada Ream bagi membolehkan pembinaan infrastruktur baru di pengkalan laut itu.
Laporan media itu adalah berdasarkan kepada deraf perjanjian antara China dan Kemboja yang telah dilihat oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat.

Perjanjian rahsia antara China dan Kemboja itu membenarkan Beijing menempatkan tentera, senjata dan kapal-kapal perang di pengkalan tentera laut Ream selama 30 tahun.
Berikutan laporan oleh media mengenai kewujudan perjanjian rahsia itu, pegawai-pegawai Kemboja menafikannya dengan Hun Sen mengatakan ia adalah laporan media yang paling teruk.
Comments are closed.