“Tejas”, Pesawat Yang Mula Dibangunkan Oleh India 40 Tahun Yang Lalu
Dibangunkan hampir 40 tahun, kita faham bahawa kerajaan India sememangnya amat mengharapkan akan ada sinar harapan bagi pesawat “Tejas” itu di pasaran eksport dengan Malaysia menjadi sasarannya sebagai pembeli pertama untuk pesawat kebanggaan New Delhi itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India mula membangunkan program pesawat Light Combat Aircraft (LCA) atau “Tejas”, yang merupakan pesawat buatan tempatan mereka yang pertama seawal pada tahun 1983 iaitu kira-kira 39 tahun yang lalu.
Dibangunkan hampir 40 tahun, kita faham bahawa kerajaan India sememangnya amat mengharapkan akan ada sinar harapan bagi pesawat “Tejas” itu di pasaran eksport dengan Malaysia menjadi sasarannya sebagai pembeli pertama untuk pesawat kebanggaan New Delhi itu.
New Delhi melancarkan program pembangunan pesawat “Tejas” itu dengan harapan untuk menggantikan ratusan pesawat MiG-21 yang mula berkhidmat dengan Tentera Udara India pada tahun 1963 dan sedang menghampiri penghujung usianya.
Bagaimanapun selepas program bermula pada 1983, Tejas berhadapan dengan masalah untuk membangunkan pesawat prototaip.
Dikatakan ia telah mengemukakan sebanyak beberapa buah pesawat prototaip tetapi kesemuanya gagal ke tahap seterusnya kerana dibelenggu dengan pelbagai masalah teknikal.
Sebab itulah program pembangunan pesawat Tejas oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang sepatutnya menonjolkan kemampuan teknologi aeroangkasa India itu berhadapan dengan kelewatan yang teruk, menyebabkannya menjadi bahan lawak negara luar terutamanya musuh tradisinya Pakistan dan China.
Pesawat JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China hanya bermula pada 1999 dan pada 2003 penerbangan sulung pesawat prototaip itu telah berjaya dilakukan.
Pada ketika ini kira-kira 130 pesawat JF-17 berkhidmat dengan Tentera Udara Pakistan dan 50 buah varian terkini pesawat itu,MK III akan mula terbang pada tahun ini.
Pesawat JF-17 juga memperolehi kejayaan di pasaran eksport dengan beberapa negara menjadikan pesawat tentera udara mereka seperti Myanmar dan Nigeria.
Bagi Tejas yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan pesawat “Mirage” pula,hanya pada 2003 iaitu 20 tahun selepas program pembangunan pesawat pejuang tempatan itu bermula, prototaip pertama dinamakan “PV-1” berjaya melakukan penerbangan sulungnya.
Lebih banyak pesawat prototaip dibangunkan termasuk varian untuk digunakan di atas kapal pengangkut pesawatnya, INS Vikramaditya dan INS Vikrant.
Walaupun telah melakukan pelbagai ujian di Goa dan atas kapal pengangkut pesawat INS Vikramaditya, “Tejas” masih belum lagi diterima untuk beroperasi di atas dek penerbangan kapal pengangkut pesawat.
Ketidakmampuan pesawat itu untuk menjadi pesawat pilihan India untuk beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat berterusan dan tempatnya telah pun diambil oleh MiG-29Kyang beroperasi di INS Vikramaditya.
Manakala bagi kapal pengangkut pesawat terbaru India, INS Vikrant, persaingan kini adalah di antara Boeing Super Hornet dan Rafale-M buatan Dassault Aviation.
Tejas perlu menunggu beberapa tahun lagi sehingga ia dapat menghasilkan pesawat pejuang yang boleh beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat India.
Pesawat prototaip Tejas hanya memperolehi Initial Operational Clearance (IOC) pada 2011 tetapi itu pun Tentera Udara India masih mengkehendaki HAL mengatasi beberapa masalah dan “operational limitations” yang membelenggu pesawat “kebanggaan” industri pertahanan India itu.
Selepas hampir 40 tahun proses pembangunan yang berliku dan bermasalah, pada Februari tahun lepas Tentera Udara India membuat keputusan untuk memperolehi 83 buah pesawat Tejas Mk 1 yang dibangunkan oleh syarikat HAL.
Pesawat itu akan mula diterima oleh Tentera Udara India pada 2024.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Selepas 40 tahun pembangunannya, adalah menjadi persoalan juga mengapa Tentera Udara India hanya memperolehi Tejas dalam jumlah yang amat kecil.
Adakah Tentera Udara India meragui kemampuan pesawat Tejas yang dibangunkan oleh industri pertahanannya sendiri?
Salah satu sebab yang sering diperkatakan oleh pemerhati pertahanan mengapa Tentera udara India memperolehi pesawat Tejas dalam jumlah yang kecil adalah kerana kilang HAL hanya mampu membina lapan buah pesawat Tejas itu dalam setahun.
Hanya lapan pesawat dalam setahun? — DSA