Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengisi Minyak KC-135 “Stratotanker” Di Pangkalan Udara Subang

Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki 396 buah pesawat pengisi minyak “Stratotanker” ini dengan 243 daripada pesawat itu dikendalikan oleh Pasukan Simpanan Tentera Udara Amerika Syarikat dan Air National Guard bagi menyokong misi dan operasi Air Mobility Command.

0 3,900

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pengisi minyak milik Tentera Udara Amerika Syarikat, Boeing KC-135 “Stratotanker” kini berada di Pangkalan Udara Subang selepas tiba daripada pangkalannya di Seattle, Washington.

Pesawat pengisi minyak itu beroperasi dengan Washington Air National Guard.

Menurut kenyataan daripada kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, pesawat KC-135 telah memberi khidmat mengisi minyak di udara kepada pesawat-pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat sejak 60 tahun yang lalu.

Stratotanker

Sejak tahun 2017, Angkatan Tentera Malaysia dan Washington Air National Guard telah menikmati program kerjasama yang mewujudkan peluang kepada anggota tentera kedua-dua negara menjalani latihan bersama , bekerjasama dan memperkukuhkan hubungan bersama.

Pada tahun November 2021 ketika Airmen-to-Airmen Talks di Amerika Syarikat kata kedutaan, pihak Washington Air National Guards telah berjanji untuk menghantar sebuah pesawat KC-135 ke Malaysia bagi membolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pengetahuan tentang operasi pengisian minyak di udara.

Hari ini, pihak Washington Air National Guard telah menunaikan janji mereka tentang perkara itu.

Stratotanker

Pesawat pengisi minyak KC-135 “Stratotanker” ini membantu Tentera Udara Amerika Syarikat mencapai matlamat mereka untuk beroperasi di segenap pelusuk dunia.

Ia membantu mengisi minyak kepada pesawat-pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat, Tentera Laut, Kor Marin dan pesawat-pesawat daripada negara sekutu Amerika Syarikat termasuk pesawat-pesawat pengebom jarak jauh dan strategiknya seperti B-52, B-1 Lancer, B-2 Spirit dan lain-lain lagi.

Setiap pesawat KC-135 ini mampu mengisi minyak dua pesawat pada satu-satu masa.

Stratotanker
(US Embassy)

 

Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki 396 buah pesawat pengisi minyak “Stratotanker” ini dengan 243 daripada pesawat itu dikendalikan oleh Pasukan Simpanan Tentera Udara Amerika Syarikat dan Air National Guard bagi menyokong misi dan operasi Air Mobility Command.

Selain melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pesawat pengisi minyak, pesawat “Stratotanker” ini juga melaksanakan pelbagai tugasan lain seperti bertindak sebagai pesawat kawalan dan pemerintahan dan juga sebagai pesawat pemantau (reconnaissance).

Pesawat ini memiliki empat enjin CFM International CFM-56 turbofan.

Stratotanker
(US Embassy)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sebagai pesawat pengisi minyak, pesawat ini mampu beroperasi sejauh 2,400km dengan membawa 68,039kg minyak dan sebagai pesawat penghantar barang ia mampu terbang sejauh lebh 17,700 km.

Pesawat “Stratotanker” yang mula beroperasi dengan Tentera Udara Amerika Syarikat pada 1956 ini mampu membawa sehingga 37 orang penumpang.– DSA

Stratotanker
(US Embassy)
Comments
Loading...