Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea, Jerman Bangunkan Peluru Berpandu Kruis “TAURUS KEPD 350K-2” Untuk FA-50

Laporan media menyatakan bahawa peluru berpandu kruis KEPD 350K-2 yang bakal dibangunkan untuk kegunaan pesawat pejuang FA-50 hasil kerjasama antara syarikat Korea Selatan dan Jerman itu akan memiliki berat hampir 900kg dan berkemampuan membedil sasaran sejauh 400km.

1,169

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pameran ADEX 2023 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini, syarikat LIG Nex1 daripada Korea Selatan dan Taurus Systems daripada Jerman telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan peluru berpandu kruis yang bakal dilengkapkan pada pesawat pejuang FA-50.

Pesawat pejuang FA-50 yang akan digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula pada akhir 2026 itu dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Peluru berpandu kruis yang akan dibangunkan adalah TAURUS KEPD 350K-2 dan dikategorikan sebagai Medium-Range Air-Launched Cruise Missile (MALCM).

Kedua-dua syarikat itu memberikan tempoh tiga tahun untuk membangunkan peluru berpandu kruis itu bagi memenuhi permintaan pelanggan-pelanggan pesawat pejuang FA-50 yang sedia ada di seluruh dunia.

Dengan adanya peluru berpandu kruis TAURUS KEPD 350K-2 itu, ia sekaligus akan menjadikan pesawat pejuang FA-50 itu menjadi lebih menarik di mata pelanggan-pelanggannya yang berpotensi.

FA-50
“TAURUS KEPD 350K-2” adalah “adik” kepada  peluru berpandu kruis TAURUS 

 

Terdapat juga cadangan untuk melengkapkan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan oleh KAI juga pada ketika ini dengan peluru berpandu kruis yang bakal diperkenalkan menerusi kerjasama di antara syarikat Korea Selatan dan Jerman itu.

Kerjasama itu akan menggunakan peluru berpandu kruis “TAURUS” yang telah pun dibangunkan oleh syarikat Taurus Systems daripada Jerman dan berkemungkinan membangunkan varian yang lebih kecil untuk digunakan oleh pesawat pejuang FA-50 itu.

Pada ketika ini Tentera Udara Korea Selatan telah pun menggunakan peluru berpandu kruis TAURUS KEPD 350K yang dibawa oleh pesawat pejuang F-15K miliknya.

Pesawat-pesawat F-15K menggunakan peluru berpandu kruis TAURUS itu untuk mensasarkan pusat-pusat kawalan dan pemerintahan serta kubu-kubu diperkukuhkan bagi menempatkan peluru-peluru berpandu konvensional dan nuklear milik Korea Utara.

Bagaimanapun peluru berpandu kruis TAURUS KEPD 350K itu tidak sesuai untuk digunakan oleh pesawat pejuang FA-50 berikutan saiznya, yang membawa kepada kerjasama terkini di antara LIG Nex1 dan Taurus Systems untuk membangunan varian saiz lebih kecil peluru berpandu itu.

Taurus
Anggota tentera Korea Selatan sedang memasang peluru berpandu kruis TAURUS pada pesawat F-15K negara itu.

 

Laporan media menyatakan bahawa peluru berpandu kruis TAURUS KEPD 350K-2 yang bakal dibangunkan untuk kegunaan pesawat pejuang FA-50 hasil kerjasama antara syarikat Korea Selatan dan Jerman itu akan memiliki berat hampir 900kg dan berkemampuan membedil sasaran sejauh 400km.

Kedua-dua syarikat dilaporkan akan cuba menggunakan komponen dan peralatan buatan syarikat Korea Selatan seperti sistem navigation dan guidance, kepala peledak dan enjin di dalam peluru berpandu kruis tempatan itu.

Ia bertujuan untuk mengatasi kawalan eksport yang ketat dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Jerman, sekaligus membolehkan peluru berpandu TAURUS KEPD 350K-2 itu dijual kepada banyak pelanggan yang menggunakan pesawat FA-50 itu termasuk Malaysia.

Pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang FA-50 turut digunakan oleh Tentera Udara Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Filipina, Iraq, Poland dan Malaysia.

Malaysia dan Poland akan memperolehi varian paling berkeupayaan pesawat pejuang itu dikenali sebagai FA-50 Block 20. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.