Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand “Lupakan Sementara” Pemilikan Kapal Selam China, Gantikan Dengan Kapal Friget

Thailand nampaknya telah bersedia untuk “melupakan” buat sementara waktu usaha memiliki sebuah kapal selam daripada China yang kini berhadapan dengan pelbagai masalah dan sebaliknya “mengantikan” dengan kapal friget buatan negara kuasa besar Asia itu.

0 5,107

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara jiran, Thailand telah memutuskan untuk memperolehi sebuah kapal friget daripada China bagi “menggantikan” kapal selam yang sepatutnya diterima daripada Beijing pada tahun ini.

Thailand sepatutnya menerima kapal selam daripada China pada tahun ini, tetapi Beijing sehingga kini gagal menyerahkannya disebabkan masalah mendapatkan enjin yang bersesuaian.

Kini Bangkok nampaknya telah bersedia untuk “melupakan” buat sementara pemilikan kapal selam daripada China itu dan sebaliknya “mengantikan” dengan sebuah kapal friget daripada kuasa Asia itu.

Menteri Pertahanannya Sutin Klungsang dilaporkan berkata bahawa negara Asia Tenggara itu menangguhkan buat sementara waktu usaha memiliki kapal selam berikutan masalah mendapatkan enjin bagi kapal selam yang sepatut diperolehinya daripada China.

Beliau berkata kapal friget yang bakal diperolehinya daripada China mempunyai kemampuan menangani ancaman udara, permukaan dan bawah permukaan.

China
Kapal friget China Type 054A

 

“Dan harganya adalah hampir sama dengan harga sebuah kapal selam,” kata beliau.

Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion).

Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.

Sebagai jalan penyelesaian,  Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

Laporan media Thailand menyatakan bahawa kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada Jun lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.

Kapal Selam
Bekas Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha bertanggungjawab membeli kapal selam daripada China.

 

Namun, kejatuhan kerajaan Thailand dipimpin jeneral tentera Prayut Chan-o-cha nampaknya telah mengubah keputusan kerajaan mengenai kapal selam.

Kerajaan negara Asia Tenggara yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri awam Srettha Thaivisin nampaknya telah mengubah keputusan pucuk pimpinan terdahulu yang bersetuju menggunakan enjin buatan China pada kapal selamnya itu.

Thailand kini bertegas dan tidak mahu menerima kapal selam yang dilengkapi dengan enjin buatan China.

Sememangnya,Bangkok tidak mempunyai “kepercayaan yang tinggi” terhadap kemampuan enjin buatan China terutamanya CHD 620 yang dicadang digunakan pada kapal selam S-26T Thailand kerana ia belum lagi teruji.

Thailand dikatakan memohon “bantuan” daripada Pakistan untuk memberikannya  maklumat terkini dan terperinci berkenaan enjin kapal selam buatan China yang bakal digunakan oleh lapan buah kapal selam kelas-Hangor milik tentera laut negara Asia Selatan itu.

Pakistan memperolehi lapan buah kapal selam kelas-Hangor (kelas-Yuan) daripada China, dengan empat buah dibina di China manakala empat lagi dibina di Pakistan di bawah konsep pemindahan teknologi. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...