Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pemimpin Parti Sabah Dakwa Kejadian Di Tanduo “Sandiwara”

0 741

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sejak awal pagi tadi, satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat tular di media sosial dengan memaparkan pemimpin sebuah parti politik yang sedang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah mendakwa kejadian serangan di Kampung Tanduo sebagai suatu “sandiwara”.

Beliau yang tidak dikenalpasti identitinya antara lain mendakwa apa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tujuh tahun lalu, mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum kerana Umno dikatakan bakal kalah.

“Sebelum PRU yang lalu (2013), dia bilang Filipina mahu ambil Sabah, jadi ada peperangan konon di Tanduo.

“Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang sampai habis kelapa sawit orang, rumah orang kuyak (rosak) ditembak.

“Selepas itu dia suruh kereta kebal masuk ke kampung-kampung pergi berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Ayam sama anjing kawan dia berperang.

“Apabila habis pilihan raya, tiada pula peperangan itu. Ketika saya menjadi wakil rakyat di Lahad Datu pada 1986, tidak pernah saya jumpa orang bawa senjata mahu berperang atau rampas Sabah.

“Apabila ketika itu kononnya Umno akan kalah kepada PKR, terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu, sandiwara bohong menembak,” katanya menerusi klip video berkenaan.

Pemimpin itu dikatakan bertanding bagi kerusi di sebuah kawasan baharu di pantai timur Sabah.

Sementara itu bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga daripada Parti Cinta Sabah berkata pertempuran di Tanduo menyaksikan 235 pengganas mendarat di Sabah dari Pulau Siminul, Filipina.

menteri
Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. (sumber internet)

Polis“Kejadian itu menyebabkan 10 orang anggota keselamatan Malaysia terkorban, termasuk dalam beberapa serangan hendap.

“Bagaimanapun, pemimpin Warisan itu menyifatkan pengorbanan mereka sebagai sandiwara.

“Kenyataan itu menunjukkan betapa buta mata dan hati pemimpin Warisan terhadap pengorbanan wira negara, sekali gus melukakan hati keluarga dan rakan seperjuangan anggota keselamatan kita,” katanya.

Anifah menegaskan, pemimpin Warisan itu wajar bermuhasabah dan malu dengan kenyataan terbabit.

Malah, katanya, rakyat seharusnya menolak pimpinan yang tidak menghargai jasa barisan keselamatan melindungi kedaulatan negara khususnya Sabah.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...