Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PDRM Terima Maklumat Rakyat Negara Jiran Mahu Kacau PRN Sabah

0 630

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

“Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran untuk datang ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin,” katanya sebagaimana dipetik oleh Agensi Berita Nasional (BERNAMA) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Hazani
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali. (kredit internet)

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita beliau enggan mendedahkan sumber risikan, jumlah yang dijangka terbabit dan jenis kekacauan yang akan ditimbulkan.

“Dari negara jiran, tidak payah spesifik lah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut soalan pemberita berkaitan perkara tersebut.

Hazani berkata pihak polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak berkuasa lain akan memperketatkan kawalan di sempadan antara lain dengan menggerakkan aset-aset yang sedia ada ke tahap maksimum.

Sabah
Sabah terletak berhampiran dengan selatan Filipina. (kredit internet)

Beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mengerakkan aset pada jumlah maksimum dan juga rondaan di setiap sempadan laut serta darat di kawasan pantai timur Sabah.

“Sebanyak 96 pos kawalan di sempadan laut dan darat telah diletak dalam keadaan bersedia dan sedang aktif melakukan rondaan bagi mengesan ‘lorong tikus’ yang terdapat di sepanjang sempadan negara.

“Kita juga takut mereka akan membawa penyakit COVID-19, penyakit ini telah merebak dengan cepatnya khususnya di kawasan pantai timur Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna,” katanya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Sumber berita adalah daripada Agensi Berita Nasional (Bernama)

Comments
Loading...