Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Taiwan Sertai “Persaingan” Untuk Lihat Lebih Dekat Serpihan Peluru Berpandu BVR PL-15 Ditemui India

Sebagai negara yang terpaksa berdepan secara langsung dengan sistem persenjataan buatan China, Taiwan sememangnya mempunyai kepentingan yang amat besar untuk mengkaji dan memeriksa peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu.

0 7,029
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Taiwan menjadi negara terbaru yang dilaporkan ingin bekerjasama dengan kepada India untuk memeriksa dan mengkaji serpihan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 buatan China yang ditemui di kawasan pedalamannya.
Peluru berpandu PL-15 itu dipercayai dilancarkan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan.
Sebagai negara yang terpaksa berdepan secara langsung dengan sistem persenjataan buatan China, Taiwan sememangnya mempunyai kepentingan yang amat besar untuk mengkaji dan memeriksa peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu.
Taiwan mahu melihat dengan lebih dekat peluru berpandu PL-15 itu supaya ia dapat mengkaji kekuatannya dan kelemahannya serta membangunkan taktik dan strategi untuk menanganinya jika ia terpaksa berdepan dengannnya.
Setiap hari pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Taiwan terpaksa berdepan dengan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF) sperti J-20 “Mighty Dragon”, J-10C yang dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 ketika dalam misi rondaannya.
“Akses kepada serpihan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu akan membantu Taiwan secara langsung dalam membangunkan countermeasure atau memperbaiki peluru berpandu tempatan yang sedang dibangunkannya pada ketika ini.”
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa, beberapa agensi perisikan Barat dan sekutu mereka dilaporkan telah “menunjukkan minat” untuk bekerjasama dengan India dalam mengkaji dan menganalisis serpihan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 buatan China yang ditemui di beberapa lokasi di India.
PL-15
Serpihan peluru berpandu PL-15 ditemui penduduk tempatan India
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan terutamnya J-10C dan juga JF-17 diketahui menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15 itu semasa konflik Pakistan-India baru-baru ini.
Tentera Udara Pakistan mendakwa pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India menggunakan peluru berpandu PL-15 sepanjang konflik Pakistan-India itu.
Selain pesawat pejuang J-10C , pesawat pejuang JF-17 Tentera Udara Pakistan turut dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15.
Hasil daripada kejayaannya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang India itu, nama peluru berpandu PL-15 meniti di bibir para media, pemerhati dan penganalisis yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang peluru berpandu udara-ke-udara buatan China yang hebat itu.
Enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India yang berjaya ditembak jatuh oleh Pakistan pada konflik itu termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan juga sebuah Mirage 2000.
Walaupun pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan itu berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang India, namun terdapat juga peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 itu tersasar.
Terdapat serpihan-serpihan peluru berpandu PL-15 termasuk yang masih dalam keadaan yang baik telah ditemui oleh tentera India.
Media-media India melaporkan penduduk tempatan telah menemui serpihan peluru berpandu PL-15 milik Pakistan itu di perkampungan Kamahi Devi di daerah Hoshiarpur di wilayah Punjab dan di beberapa lokasi lain.
PL-15
PL-15
Dan serpihan-serpihan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang ditemui oleh pihak India inilah yang cuba diperolehi oleh agensi perisikan negara-negara Barat tertentu untuk tujuan pengumpulan maklumat.
Menurut media pertahanan India, agensi-agensi perisikan negara Barat yang mahu “melihat dengan lebih dekat” serpihan peluru berpandu PL-15 buatan China itu adalah daripada negara-negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand yang dipanggil “Five Eyes.”
Selain negara-negara kerjasama perisikan “Five Eyes”, negara-negara lain termasuk Perancis dan Jepun juga dilaporkan telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan India bagi membolehkan mereka menganalisis serpihan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 buatan China itu.
Analisis itu akan membolehkan negara-negara Barat melihat dengan lebih dekat dan terperinci teknologi pertahanan tercanggih China yang kini sudah mampu bersaing malah melebihi teknologi pertahanan Barat.
Bagi agensi perisikan seperti CIA, NSA, serta perisikan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, serpihan peluru berpandu seperti PL-15 merupakan ‘harta karun’ yang sangat berharga untuk dianalisis dari pelbagai sudut teknikal dan strategik.
Antara matlamat utama mereka adalah untuk menjalankan ujian forensik ke atas komponen peluru berpandu, termasuk sistem panduan, enjin pendorong (engine propulsion), pencari radar (radar seeker), dan sistem komunikasi data.
Melalui analisis ini, mereka boleh mengetahui dengan lebih terperinci tentang frekuensi radar, jenis gelombang pencari sasaran, dan keupayaan gangguan elektronik peluru berpandu tersebut — maklumat penting untuk membina sistem gangguan (jamming) dan kaedah pertahanan elektronik yang lebih berkesan.
PL-15
PL-15
Jika peluru berpandu PL-15 itu dilancarkan oleh pesawat milik Pakistan, maka ia akan mengesahkan bahawa China kini telah memindahkan teknologi peluru berpandu generasi baharu kepada Pakistan, sesuatu yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan Tentera Udara China sahaja.
Perkara ini secara tidak langsung memberi amaran awal kepada negara-negara Barat tentang tahap penyebaran senjata canggih China di rantau Asia Selatan, dan bagaimana ia boleh mengubah keseimbangan kuasa ketenteraan di kawasan tersebut.
Selain itu, agensi risikan juga mahu memastikan sama ada spesifikasi sebenar peluru berpandu PL-15 — termasuk dakwaan jarak maksimum lebih 300km dan keupayaan anti-stealth — benar-benar sahih atau sekadar propaganda ketenteraan China.
Maklumat ini penting untuk memperkemaskan strategi udara Barat, terutamanya dalam menghadapi potensi konflik di Indo-Pasifik yang melibatkan aset China atau sekutunya.
Pakar-pakar perisikan juga akan meneliti sama ada terdapat komponen buatan Russia dalam sistem peluru berpandu tersebut, memandangkan China sebelum ini menggunakan teknologi enjin dan radar dari Moscow.
Penemuan seperti ini boleh membantu mengesan jejak kerjasama “senyap” antara industri pertahanan China dan Russia, yang kini menjadi tumpuan utama Washington dan sekutunya dalam konteks sekatan dan kawalan eksport senjata.
Dari sudut geopolitik pula, maklumat yang diperoleh melalui analisis serpihan ini boleh digunakan oleh negara-negara Barat untuk menekan China dan Pakistan di pentas antarabangsa, serta membela pendirian India dalam isu keselamatan serantau.
PL-15E
PL-15E 
Lebih penting lagi, penemuan ini akan memberi dorongan kepada syarikat pertahanan Barat seperti Raytheon, Lockheed Martin dan MBDA untuk membangunkan peluru berpandu baharu atau sistem pertahanan udara yang mampu menandingi ancaman PL-15.
Secara keseluruhan, penganalisis ketenteraan melihat insiden ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi satu perkembangan strategik yang memberi kesan besar terhadap keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan, dan mempercepatkan perlumbaan senjata antara kuasa besar dunia.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Ia mempunyai kemampuan membedil sasaran udara sejauh 300km.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan sehingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.