Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kagum Dengan Jurutera Tempatan, TAI Bakal Besarkan Kemudahan Kejuruteraannya di M’sia

Defence Security Asia (DSA) dimaklumkan bahawa gergasi aeroangkasa Turkiye iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI) itu amat-amat berpuashati dengan prestasi dan kepakaran jurutera anak-anak tempatan di kemudahan kejuruteraannya di Cyberjaya menangani pelbagai tugasan yang diamanahkan kepada mereka dan mahu membesarkan lagi kemudahan kejuruteraannya di Malaysia itu.

0 9,640

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun hanya lebih daripada setahun bertapak di Malaysia, namun kemudahan kejuruteraan dan rekabentuk Turkish Aerospace Industries (TAI) di Cyberjaya telah mencapai banyak kejayaan yang dibanggakan.

Dalam masa lebih daripada setahun berada di Malaysia, hampir 100 jurutera terdiri daripada anak-anak tempatan telah diambil bekerja di kemudahan TAI itu.

Dan Defence Security Asia (DSA) dimaklumkan bahawa gergasi aeroangkasa Turkiye itu amat-amat berpuashati dengan prestasi dan kepakaran jurutera anak-anak tempatan menangani tugasan yang diamanahkan kepada mereka.

TAI
Ketua Pegawai Eksekutif TAI Temel Kotil pada perasmian pejabat TAI di Cyberjaya pada 2021.

 

“TAI amat berpuashati dengan hasil kerja anak-anak tempatan dan mereka mahu membawa lebih banyak “perniagaan” yang sebelum ini dilakukan oleh syarikat-syarikat Eropah dan negara lain kepada kemudahan mereka di Malaysia.”

“Tahap keyakinan mereka terhadap kemampuan jurutera tempatan adalah amat tinggi,” menurut sumber itu kepada DSA ketika ditemui di LIMA ’23 baru-baru ini, sambil menyatakan bahawa Malaysia sememangnya dikenali di seluruh dunia sebagai negara yang “kuat” di dalam bidang elektrikal dan elektronik (E&E).

Sumber itu berkata, jurutera-jurutera Malaysia kini mengambilalih tugasan menghasilkan beberapa komponen penting elektronik untuk beberapa pesawat yang dibangunkan oleh TAI seperti pesawat pejuang asas (basic trainer) “Hurkus”,pesawat pejuang ringan “Hurjet” serta helikopter.

“Dengan kepakaran jurutera tempatan, mungkin mereka juga akan terlibat kerja-kerja pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang dinamakan ‘KAAN,” kata beliau.

Salah satu komponen untuk pesawat “Hurjet” yang dibangunkan oleh jurutera-jurutera Malaysia di kemudahan kejuruteraannya di Cyberjaya adalah komputer kawalan penerbangan (flight control computer).

Hurjet
Pesawat prototaip “Hurjet” yang pertama.

 

Komputer Kawalan Penerbangan bagi pesawat “Hurjet” itu adalah satu daripada pelbagai komponen pesawat yang sedang dihasilkan oleh jurutera-jurutera tempatan untuk syarikat gergasi aeroangkasa Turkiye itu.

Dengan keputusan Malaysia memperolehi tiga buah dron “Anka-S” dan peralatan sokongannya bernilai lebih RM400 juta, maka sebahagian kerja-kerja pembuatan komponen dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) keluaran TAI itu juga bakal beralih kepada kemudahannya di Cyberjaya.

Selain pesawat, TAI juga membangunkan helikopter penyerang “ATAK” dan helikopter utiliti “Gokbey.”

Disebabkan kekuatan Malaysia dalam bidang E&E, negara menjadi pilihan kepada pelabur-pelabur asing di dalam bidang itu.

Disebabkan amat berpuashati dengan kepakaraan anak-anak tempatan itu, maka TAI dikatakan akan  menambah bilangan jurutera tempatan daripada 100 kepada kira-kira 500 orang di dalam jangka masa terdekat ini.  

Menurut sumber itu lagi, Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil juga adalah seorang yang amat berpengetahuan tentang kemampuan Malaysia di dalam bidang E&E kerana pernah berurusan dengan negara selama 20 tahun.

Gokbey
“Gokbey”

 

“Beliau (Temel Kotil) amat berpengetahuan tentang kemampuan anak-anak Malaysia.”

Pusat kejuruteraan dan rekabentuk TAI di Cyberjaya adalah pertamanya di Asia Tenggara dan antara 10 buah di seluruh dunia.

Jurutera-jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian bersama di dalam beberapa bidang seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program permodenan penerbangan antarabangsa.

Ketika majlis perasmian pusat kejuruteraan TAI di Cyberjaya pada 2021,Temel Kotil berkata, TAI akan menganjurkan kajian-kajian penting oleh Malaysia dan Turki di dalam bidang penerbangan, angkasa lepas dan pertahanan.

“Kami berhasrat untuk meluaskan pengalaman kami di dalam bidang-bidang ini menerusi projek-projek kerjasama dengan Malaysia selain memperkukuhkan industri penerbangan antarabangsa terutamanya di rantau ini,” kata beliau. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...