Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Korea Selatan Akan Bekal Enjin, Sistem Transmisi Bagi Kereta Kebal “Altay” Turki

Projek pembangunan kereta kebal "Altay" berdepan kelewatan kerana Jerman enggan membekalkan enjin dan sistem transmisi.

0 2,309

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Turki, BMC telah mencapai persetujuan dengan dua buah syarikat Korea Selatan untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi bagi kereta kebal “Altay” yang bakal dibangunkan oleh industri pertahanan Turki.

Menurut sumber yang dipetik sebagai berkata oleh portal pertahanan antarabangsa, Defense News, syarikat BMC telah mencapai persetujuan dengan syarikat-syarikat Korea Selatan iaitu Doosan dan S&T Dynamics.

Altay

Kedua-dua syarikat bersetuju untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi bagi digunakan oleh kereta kebal “Altay”.

“Persetujuan itu adalah hasil persefahaman strategik antara syarikat-syarikat terbabit dan negara,” kata salah seorang pegawai syarikat BMC kepada portal pertahanan itu. Program pembangunan kereta kebal “Altay” berhadapan dengan kelewatan berikutan kesukaran syarikat BMC mendapatkan sumber bekalan enjin, sistem transmisi dan armor. Pada mulanya, enjin dan sistem transmisi bagi kereta kebal tempatan itu akan dibekalkan oleh syarikat-syarikat Jerman.

Altay

Syarikat MTU akan membekalkan enjin manakala RENK pula akan menghulurkan bantuan kepakarannya di dalam bidang sistem transmisi bagi kereta kebal Turki itu.

Bagaimanapun, hasrat BMC untuk mendapatkan kepakaran syarikat-syarikat Jerman bagi pembangunan kereta kebal “Altay” terbantut apabila kerajaan Jerman mengenakan sekatan penjualan senjata terhadap Turki berikutan pembabitan negara Mediterranean itu dalam konflik di Syria.

Tindakan Berlin itu menyebabkan pembangunan kereta kebal “Altay” itu berhadapan masalah dan kelewatan.

Dibawah persetujuan baru antara BMC dengan Doosan dan S&T Dynamics, kereta kebal “Altay” menggunakan enjin dan sistem transmisi syarikat Korea Selatan itu akan membuat kemunculan pada tahun depan.

Syarikat Doosan dan S&T Dynamics juga terlibat dalam pembangunan kereta kebal K2 Black Panther yang digunakan oleh tentera Korea Selatan.

Jika segala-galanya berjalan dengan lancar, BMC akan menghasilkan kira-kira 250 buah kereta kebal “Altay” pada fasa pertama manakala di bawah fasa kedua pula, syarikat akan membina 750 kereta kebal yang dipertingkatkan kemampuannya dan menggunakan enjin serta sistem transmisi buatan tempatan.

Ia juga akan menghasilkan kereta kebal “Altay” tanpa pemandu (unmanned).

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...