Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Bersekutu Arab Lancar Serangan Udara Ke Kedudukan Houthi Di Yemen

Serangan udara dipercayai sebagai tindak balas terhadap tindakan Houthi melancarkan serangan peluru berpandu dan dron bersenjata terhadap bandar-bandar Arab Saudi.

0 2,399

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas diserang dengan puluhan peluru berpandu ballistik dan dron-dron membawa bahan letupan oleh militan Houthi, Arab Saudi mula bertindak-balas dengan melancarkan serangan udara terhadap beberapa kedudukan kumpulan itu di Yemen.

Menurut jurucakap kumpulan Houthi, jet jet pejuang tentera udara negara bersekutu Arab telah melancarkan kira-kira 40 serangan udara terhadap kedudukan kumpulan itu di Yemen.

Arab Saudi
Pesawat-pesawat pejuang F-15 Tentera Udara Arab Saudi.

 

“Jet-jet pejuang bersekutu Arab telah melancarkan serangan udara terhadap 40 kedudukan Houthi di lima bandar di Yemen. Kelima-lima bandar itu adalah Sana’a, Sa’adah, Dhamar, Marib dan Al-Jawf,” kata jurucakap Houthi itu.

Terdapat juga laporan mengatakan bahawa tentera bersekutu Arab telah melancarkan kira-kira 32 serangan udara terhadap sasaran dikaitkan dengan kumpulan militant Houthi yang disokong oleh Iran di dalam tempoh 20 jam yang lalu. Antara sasaran serangan udara oleh jet-jet pejuang tentera Arab Bersekutu itu termasuklah gudang-gudang yang menempatkan peluru berpandu ballistik di Sana’a dan woksyop untuk memasang dron-dron bersenjata.

Dron
Salah sebuah dron bersenjata Houthi dinamakan  “Samad-3″” yang berjaya ditembak jatuh di bandar Khamis Mushait, Arab Saudi beberapa hari lepas.

 

Sehingga kini tiada laporan tentang bilangan kemalangan jiwa daripada serangan udara terbabit.

Pasukan tentera bersekutu Arab itu diketuai oleh Arab Saudi dan turut dianggotai oleh negara-negara Arab lain seperti Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Sudan.

Negara-negara bersekutu Arab ini mendakwa Iran berada di belakang kumpulan Houthi, menyokong mereka daripada segi bekalan senjata termasuk peluru berpandu balistik dan dron-dron bersenjata  kepakaran ketenteraan.

Iran dikatakan menjadikan militant Houthi di Yemen itu sebagai proksi mereka dalam menekan Amerika Syarikat dan sekutu utamanya di rantau ini  terutama Arab Saudi.

Selain kumpulan Houthi di Yemen, Teheran dikatakan turut menghantar anggota-anggota Kor Pengawal Revolusi Iran bagi membantu kumpulan-kumpulan proksinya yang lain di Iraq, Syria dan Lubnan, selain membanjiri kumpulan ini dengan bantuan bekalan senjata.

Beberapa hari lepas, kumpulan militan Houthi telah melancarkan serangan 14 buah dron bersenjata dan lapan peluru berpandu balistik terhadap beberapa kedudukan yang menempatkan kemudahan minyak dan gas Arab Saudi di Ras Tanura serta Dhahran.

Serangan terbabit berjaya dipatahkan oleh tentera Arab Saudi yang menggabungkan sistem pertahanan udara “Patriot” dan pesawat-pesawat pejuang F-15 untuk menembak jatuh dron bersenjata itu dan peluru-peluru balistik itu.

Serangan puak Houthi diteruskan dengan mensasarkan peluru berpandu balistiknya dan dron bersenjata terhadap bandar-bandar di Arab Saudi yang lain iaitu Yanbu dan Khamis Mushait.

Puak Houthi melancarkan dua butir peluru berpandu balistik terhadap bandar Yanbu yang terletak tidak jauh daripada kota suci umat Islam iaitu Madinah kira-kira 160km di timurnya.

Bandar Yanbu adalah antara bandar pelabuhan Laut Merah utama di wilayah Al-Madinah yang terletak barat Arab Saudi.

Selain daripada penduduk tempatan, bandar itu juga menempatkan ramai expatriat yang bekerja di kemudahan-kemudahan minyak dan gas negara itu.

Sistem pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan berjaya menembak jatuh peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh militan Houthi itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...