Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Suspek Utama Kes Pukul Dua Bodyguard Direman Tiga Hari, Empat Lain Juga “Kena Cekup”

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, reman suspek utama itu yang merupakan seorang ahli perniagaan bermula hari ini sehingga 17 April ini.

0 1,941

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang lelaki yang disyaki mencedera dan mengugut bunuh dua pengawal peribadi (bodyguard)  di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan Bukit Tinggi, Klang semalam direman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, reman suspek utama itu yang merupakan seorang ahli perniagaan bermula hari ini sehingga 17 April ini.

Bodyguard
Antara suspek-suspek kes pukul yang dibawa ke Mahkamah Majistret di Klang pagi tadi. (gambar kredit media sosial)

 

“Pagi ini suspek utama berusia 43 tahun itu dipohon perintah reman untuk membantu siasatan polis,” katanya sebagaimana dipetik oleh portal berita MalaysiaGazette hari ini.

Dalam kejadian itu, suspek didakwa mengacu pistol dan melakukan ugutan bunuh kepada kedua-dua mangsa itu kerana berpuasa.

Katanya, individu itu akan disiasat di bawah Seksyen 324, 506 dan 298 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di Selangor pula, tiga lelaki direman lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Klang hari ini berhubung laporan dua lelaki bertugas sebagai pegawal peribadi dipukul dan diacu pistol oleh majikan kerana menunaikan ibadah puasa.

Tiga daripada yang direman itu adalah pekerja di syarikat milik majikan terlibat manakala seorang lagi adalah pengawal peribadi.

Menurut Sinar Harian Online, Majistret Noratikah Ismail mengeluarkan perintah reman selepas membenarkan permohonan pihak polis.

Kesemua mereka berumur di antara 38 hingga 46 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut beberapa seksyen undang-undang termasuk Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan lain-lain.

Body Guard
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed melihat jongkong emas, wang tunai dan pistol yang dirampas. (gambar kredit Bernama)

 

Ketua Polis Negeri Datuk Arjunaidi Mohamed pula dalam satu sidang media sebentar tadi berkata pihak polis dalam serbuan malam tadi telah merampas 100 jongkong emas seberat 1 kg setiap satu dan wang tunai Dollar Amerika Syarikat.

Jongkong emas itu sahaja dianggar bernilai RM22 juta mengikut harga pasaran semasa komoditi.

Bukan setakat emas dan wang tunai, tetapi polis turut merampas sepucuk pistol jenis “Glock” berserta 10 butir peluru dan rotan yang dipercayai digunakan oleh insiden memukul dua pengawal peribadi itu sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Polis Selangor itu juga berkata, polis turut menyiasat syarikat terbabit yang dipercayai terlibat dalam kegiatan haram seperti Along dan aktiviti pengubahan wang haram di bawah AMLA (Anti Money Laundering Act).

Glock
Pistol Glock (gambar hiasan)

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...