Sultan Pahang Rasmi Kilang Peluru Automasi Tinggi Pertama Malaysia Milik Ketech Asia
Kilang yang mengeluarkan peluru pelbagai variasi untuk 9mm, 5.56mm dan 7.62mm ini dilengkapi dengan teknologi terkini dan kepakaran yang membolehkan syarikat ini menghasilkan produk peluru berkualiti tinggi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), yang terletak di Kuala Lipis, Pahang telah dirasmikan pada Khamis oleh Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kilang dengan keluasan 100 ekar ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Ketech Asia dalam usaha syarikat menjadi pengilang peluru buatan Malaysia, memenuhi keperluan agensi pertahanan negara.
Pelaburan strategik terbabit dijangka mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan pada masa akan datang dengan keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan di Kuala Lipis dan kawasan sekitarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ketech Asia Mohd Nahar Nasir berkata kilang peluru Ketech Asia di Lipis, Pahang itu telah dibangunkan sejak 2022.
“Perasmian kilang ini bukan sahaja memperkukuhkan komitmen kami terhadap pembangunan industri pertahanan negara, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” kata beliau.
Dengan lebih sedekad pengalaman dalam industri pertahanan, Ketech Asia memberi tumpuan kepada pengeluaran peluru serta menyediakan penyelesaian senjata, aksesori, dan logistik kepada pelanggan.

Kilang yang mengeluarkan peluru pelbagai variasi untuk 9mm, 5.56mm dan 7.62mm ini dilengkapi dengan teknologi terkini dan kepakaran yang membolehkan syarikat ini menghasilkan produk peluru berkualiti tinggi.
Beliau berkata kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia itu berkemampuan menghasilkan 60 juta peluru setahun bagi setiap kaliber.
Mohd Nahar berkata, misi Ketech Asia adalah untuk menjadi peneraju dan ikon teknologi ketenteraan ASEAN menjelang tahun 2030.
Sebagai sebuah syarikat industri pertahanan Malaysia, Ketech Asia menurutnya, turut menyediakan pelbagai produk senjata api, kelengkapan, dan aksesori berkualiti tinggi.
Kilang peluru automasi tinggi ini menggabungkan kemampuan pemprosesan yang canggih dan pengubahsuaian dalaman yang disesuaikan untuk menghasilkan produk berkualiti terbaik, menurut beliau.
“Kami komited untuk menetapkan penanda aras dalam pelbagai segmen industri dengan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi. Ketech Asia akan terus memperluaskan inventori senjata api dan menawarkan pelbagai kelengkapan serta aksesori yang pelbagai tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.
Mohd Nahar berkata, perasmian kilang peluru automasi tinggi pertama Malaysia itu mencerminkan usaha berterusan Ketech Asia untuk menyokong pertahanan negara melalui teknologi yang inovatif dan komitmen terhadap pembangunan yang mampan.
