Russia Aktifkan Rejimen Pertama Operasi Pesawat Su-57 “Felon”
Pada ketika ini, Rejimen ke-23 memiliki dua skuadron pesawat pejuang Su-35 dan Su-30SM dan terlibat dalam operasi ketenteraan khas di Ukraine. Rejimen itu juga disifatkan sebagai unit elit bagi tentera udara negara,

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rejimen ke-23 Pesawat Pejuang Tentera Udara Russia menjadi unit pertama di dalam tentera udara negara itu untuk mengoperasikan secara aktif pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 “Felon.”
Rejimen ke-23 Tentera Udara Russia itu berpengkalan di Dzyomgi berhampiran Komsomolsk-on-Amur di bahagian timur jauh Russia, tetapi sehingga kini tidak diketahui berapa banyak pesawat Su-57 yang akan dioperasikannya.
Pada ketika ini, Rejimen ke-23 memiliki dua skuadron pesawat pejuang Su-35 dan Su-30SM dan terlibat dalam operasi ketenteraan khas di Ukraine.
Terdapat juga laporan media mendakwa bahawa beberapa buah pesawat Su-57 telah terlibat dalam siri-siri serangan di Ukraine tetapi ia tidak disahkan oleh Tentera Udara Russia.
Menurut pemerhati pertahanan di Eropah, laporan tentang kehadiran pesawat Su-57 di Ukraine dalam jumlah yang kecil berkemungkinan lebih untuk menguji beberapa sistem dan persenjataan yang dibangunkan untuk pesawat pejuang.
Rejimen ke-23 itu kini menjadi unit aktif Tentera Udara Russia yang akan menggunakan pesawat pejuang termoden negara itu.
Rejimen Tentera Udara Russia itu disifatkan sebagai unit elit bagi tentera udara negara itu dan telah mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang termoden negara itu sejak berdekad lamanya.
Menurut timbalan komander rejimen berkenaan,Lt. Col. Ilya Sizov yang bercakap kepada media tempatan, juruterbang pesawat pejuang di unitnya sedang menerima latihan teori berkenaan pengoperasian pesawat pejuang termaju Russia itu.
Pengoperasian pesawat Su-57 oleh rejimen Tentera Udara Russia itu berlaku tidak lama selepas Ketua Pengarah ROSTEC Sergey Chemezov dalam satu temuramah dengan agensi berita TASS berkata bahawa Russia akan meningkatkan kapasiti untuk mengeluarkan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Selain menghasilkan pesawat pejuang Su-57 itu untuk Tentera Udara Russia, syarikat ROSTEC juga cuba menarik minat negara-negara luar untuk menjadi pembeli kepada pesawat generasi kelima keluarannya itu.
Comments are closed.