Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerana Sumbang MiG-29, Slovakia Diberi AH-1Z Viper Sebagai “Ganti Rugi”

Terdapat dikalangan pembaca Defence Security Asia mencadangkan supaya Malaysia mengambil pendekatan yang sama iaitu menyerahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Ukraine dan diberikan aset baru sebagai “ganti rugi” oleh Amerika Syarikat atau pihak-pihak lain.

0 13,926

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerana menyumbang 13 buah pesawat pejuang MiG-29 yang telah ditamatkan perkhidmatan kepada Ukraine, Slovakia telah ditawarkan 12 buah helikopter bersenjata AH-1Z Viper oleh Amerika Syarikat sebagai “gantirugi.”

Dianggar bernilai kira-kira US$1 bilion (RM4 bilion), pakej “ganti rugi” oleh Washington itu turut termasuk  peluru berpandu AGM-114 “Hellfire”, latihan dan bantuan lojistik.

Kira-kira US$660 juta (RM2.6 bilion) daripada kos pakej “ganti rugi” helikopter penyerang itu akan disumbang oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat manakala selebihnya US$330 juta (RM1.3 bilion) adalah daripada belanjawan pertahanan Slovakia.

AH-1Z
Helikopter bersenjata AH-1Z Viper

 

Menteri Pertahanan Slovakian berkata tawaran 12 buah helikopter penyerang oleh Amerika Syarikat akan meningkatkan kemampuan pertahanan negara itu, kerana ia tidak pernah memiliki kemampuan helikopter penyerang sebelum ini.

Pada 23 Mac yang lalu, Slovakia menjadi negara negara pertama memberikan pesawat pejuang kepada Ukraine dengan pemindahan permulaan sebanyak empat buah MiG-29 dan bakal disusuli oleh selebihnya.

Pesawat pejuang MiG-29 itu diserahkan terus kepada Tentera Udara Ukraine.

Sumbangan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia kepada Ukraine lebih dialukan-alukan kerana juruterbang negara itu sudah biasa menggunakannya dan boleh terus dikerah ke medan berbanding pesawat pejuang buatan Barat yang memerlukan latihan juruterbang berbulan-bulan.

Terdapat dikalangan pembaca Defence Security Asia mencadangkan supaya Malaysia mengambil pendekatan yang sama iaitu menyerahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Ukraine dan diberikan aset baru sebagai “ganti rugi” oleh Amerika Syarikat atau pihak-pihak lain.

MiG-29
Pesawat MiG-29 Tentera Udara Slovakia

 

Admin tidak pasti kerajaan akan mengambil pendekatan yang sama sebagaimana diambil oleh kerajaan Slovakia.

Satu daripada alasan yang mungkin difikirkan oleh kerajaan adalah kerana ia tidak mahu menjejaskan hubungan diplomatiknya yang baik dengan Moscow.

Putrajaya mungkin tidak mahu dilihat terlalu mencampuri konflik di Ukraine dengan memberikan sokongan secara terbuka kepada Kiev, apatah menyumbang senjata.

Memberikan senjata kepada Ukraine sudah pasti dilihat oleh Russia sebagai suatu tindakan yang amat provokatif oleh kita dan boleh dianggap sebagai “act of war” oleh Moscow.

Selain itu, untuk menjual atau memindahkan pesawat MiG-29 milik TUDM kepada pihak/negara lain memerlukan persetujuan daripada Russia itu sendiri, memandangkan ia adalah negara yang mengeluarkan pesawat pejuang itu.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet bersama-sama Su-30MKM, MiG-29N serta Hawk 200.

 

Sudah pasti Russia tidak akan membenarkan pesawat MiG-29 buatannya itu dipindah atau dijual kepada pihak lain jikalau ia mengetahui negara terbabit akan menggunakan pesawat itu untuk menentang anggotanya yang berada di Ukraine pada ketika ini.

Jikalau kita meneruskan juga penjualan atau pemindahan pesawat MiG-29 itu kepada pihak lain tanpa memperolehi persetujuan daripada Moscow terlebih dahulu, maka kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan kesan diplomatik daripadanya termasuk kemungkinan Russia memutuskan hubungan dua halanya dengan Malaysia.

Bagaimanapun dengan PT-91M “Pendekar”? Ia lebih mudah dipindahkan ke Ukraine kerana syarikat pembuatnya, Bumar-Labedy adalah daripada Poland dan negara itu sememangnya telah menyerahkan kereta kebal itu kepada Kiev sebelum ini.

Cuma kita kena berhadapan dengan kesan diplomatik daripada Russia akibat memindahkan senjata kepada Ukraine untuk digunakan terhadap tentera Russia.

Kereta Kebal
Kereta kebal PT-91M “Pendekar” Tentera Darat melepaskan tembakan daripada meriam 125mm pada raptai Latihan Kuasa Tembakan 2022. ((kredit Tentera Darat Malaysia)

 

Sama ada kita sanggup atau tidak menanggung kesan-kesan daripada tindakan kita itu.

Apa pandangan saudara sekalian, perlukah kita “sumbang” MiG-29 milik TUDM yang telah ditamatkan khidmat kepada Ukraine?– DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...