Pesawat Pengebom Russia Musnahkan Gudang Tempatkan “Storm Shadow” Ukraine
Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa bilangan serangan peluru berpandu “Storm Shadow” oleh pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah menurun dengan mendadak selepas serangan Tentera Udara Russia terhadap gudang-gudang menempatkan peluru berpandu jarak jauh itu di pangkalan udara Ukraine itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa pesawat-pesawat tentera udaranya telah melaksanakan operasi memusnahkan gudang-gudang menyimpan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang dibekalkan oleh United Kingdom.
Serangan yang dilakukan oleh pesawat pengebom Tu-95MS Tentera Udara Russia itu dilaksanakan pada 23 Jun terhadap gudang-gudang yang berada di dalam sebuah pangkalan udara Ukraine berhampiran dengan perkampungan Starokostyantyniv di wilayah Khmelnytskyi.
Serangan terhadap pangkalan udara Ukraine itu adalah sebagai balasan serangan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” oleh pesawat pejuang Ukraine terhadap jambatan menyeberangi Selat Chongar di Crimea beberapa hari lalu.
“Sasaran telah berjaya dimusnahkan. Objektif misi telah berjaya dicapai,” menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Russia itu.
Pihak Kementerian Pertahanan United Kingdom telah membekalkan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” kepada Ukraine yang bertindak mengintergrasi peluru berpandu itu pada pesawat-pesawat pejuang Su-24 dan Su-27.
Peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 560km itu memberikan kelebihan kepada Tentera Udara Ukraine untuk menyasarkan sasaran jauh di dalam wilayah Russia tetapi masih berada di dalam ruang udara negara sendiri.
Kiev telah menggunakan peluru berpandu kruis jarak jauh itu untuk memusnahkan sasaran-sasaran seperti jambatan dan pusat industri serta membunuh pegawai-pegawai kanan tentera Russia.
Sementara itu Tentera Udara Ukraine dalam satu kenyataan mengesahkan serangan udara oleh pesawat-pesawat pengebom Tu-95MS Russia itu terhadap pangkalan udara di perkampungan Starokostyantyniv di wilayah Khmelnytskyi, Ukraine.
Tentera Udara Ukraine menyatakan bahawa pesawat-pesawat pengebom Russia itu melancarkan 13 peluru berpandu kruis Kh-101/Kh-555 daripada Laut Caspia yang disasarkan terhadap wilayah Khmelnytskyi di Ukraine.
Ia juga menyatakan bahawa Tentera Udara Russia turut melancarkan dron-dron bagi mengelirukan sistem pertahanan udara Ukraine.
Pangkalan Udara Viysk Tentera Udara Ukraine di Wilayah Khmelnytskyi itu adalah pangkalan kepada pesawat pejuang Su-24MR yang telah diubahsuai untuk membawa peluru berpandu Storm Shadow.
Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa bilangan serangan peluru berpandu “Storm Shadow” oleh pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah menurun dengan mendadak selepas serangan Tentera Udara Russia terhadap gudang-gudang menempatkan peluru berpandu jarak jauh itu di pangkalan udara Ukraine itu.
Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.
Juga dikenali dengan panggilan SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.
Pembangunan sistem peluru berpandu itu telah bermula seawall 1990-an dan direkabentuk untuk menjadi sistem persenjataan jarak jauh, stand-off yang boleh dilancarkan daripada pesawat terhadap sasaran strategik dan pada masa yang sama memastikan pesawat tetap berada di luar jarak jangkauan sistem pertahanan udara musuh.
Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.
Pada ketika ini peluru berpandu kruis ini sedang berkhidmat dengan beberapa negara seperti United Kingdom, Perancis, Itali,Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, iaitu negara-negara pengguna pesawat pejuang Tornado, Eurofighter Typhoon dan Rafale. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com