Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Persaingan Sistem SPH Tentera Darat Kembali Terbuka?

Dengan pembatalan lima perolehan dan pengumuman Kementerian Pertahanan bahawa perolehan aset-aset ATM akan dilakukan secara tender terbuka, maka, admin berpendapat nasib cadangan perolehan 18 buah sistem meriam bergerak daripada Turki itu berkemungkinan besar berada di dalam keadaan “terumbang-ambing" pada ketika ini.

0 4,771

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa ia telah membatalkan lima perolehan  membabitkan bekalan, perkhidmatan dan projek infrastruktur sebagai langkah mengelak daripada berlakunya ketirisan sekiranya perolehan-perolehan terbabit diteruskan.

Kenyataan juga menyebut bahawa perolehan aset akan dilakukan secara tender terbuka bagi keperluan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun Kementerian Pertahanan tidak mendedahkan lima perolehan yang dibatalkan sebagaimana pengumumannya itu, tetapi pada pendapat admin ia pasti membabitkan perolehan yang dilakukan secara rundingan terus (direct nego).

Antara “cadangan” perolehan secara rundingan terus yang hangat diperkatakan tahun lepas adalah membabitkan perolehan sistem meriam bergerak daripada Turki.

Walaupun belum lagi dianugerahkan kepada pemenang, tetapi cadangan perolehan sistem Self Propelled Howitzer (SPH) untuk Tentera Darat menjadi “hangat” pada tahun lepas selepas ahli politik tempatan mendedahkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan Surat Niat (Letter of Intent) kepada sebuah syarikat tempatan MA Analytics bagi perolehan senjata itu.

Yavuz
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh gergasi industri pertahanan Turki,MKE.

 

Syarikat itu dikatakan adalah rakan tempatan kepada syarikat Turki,Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) yang membangunkan sistem meriam bergerak, “Yavuz” 155mm 52 cal itu.  

Kerajaan didakwa bercadang memperolehi 18 buah sistem SPH buatan Turki dan segala sistem sokongannya yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM800 juta itu menerusi rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Dengan pembatalan lima perolehan dan kenyataan Kementerian Pertahanan bahawa perolehan aset-aset ATM akan dilakukan secara tender terbuka, maka, admin berpendapat nasib cadangan perolehan 18 buah sistem meriam bergerak daripada Turki itu berkemungkinan besar berada di dalam keadaan  “terumbang-ambing” pada ketika ini.

Admin tiada maklumat sama ada pembatalan lima perolehan itu turut membabitkan cadangan perolehan 18 buah SPH buatan Turki itu.

Walaupun pembatalan lima perolehan itu berkemungkinan tidak melibatkan SPH yang masih diperingkat rundingan, tetapi kenyataan bahawa perolehan-perolehan aset ATM akan dilakukan secara tender terbuka juga adalah petunjuk jelas tentang “nasib” sistem SPH buatan Turki itu.

CAESAR
Meriam SPH Bergerak “Caesar” 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh NEXTER Systems.

 

Admin telah dimaklumkan oleh sumber-sumber industri pertahanan negara sebelum pengumuman semalam, bahawa Kementerian Pertahanan dibawah tampuk pemerintahan Kerajaan Perpaduan sekarang ini condong untuk melihat perolehan SPH itu dilakukan secara tender terbuka.

 Jika apa yang dinyatakan oleh sumber-sumber industri itu kepada admin itu adalah benar, maka sudah pasti persaingan untuk membekalkan 18 buah meriam bergerak kepada Tentera Darat Malaysia kini kembali terbuka dengan luasnya untuk semua pesaing yang berkemungkinan sebelum ini sudah mengibarkan “bendera putih” tanda kekalahan.

Seperti sumber industri itu berkata, “pertempuran” sengit akan berlaku sekali lagi di antara syarikat-syarikat pesaing untuk merebut kontrak SPH Tentera Darat Malaysia itu.

Eva
“Eva’ 155mm SPH turut ditawarkan kepada Malaysia.

 

Sistem SPH “Yavuz” 155mm daripada Turki itu masih berpeluang dipilih untuk menjadi sistem meriam bergerak pilihan kepada Tentera Darat, tetapi itu akan hanya berlaku selepas bersaing dengan sistem-sistem lain secara tender terbuka dan bukan lagi secara tender terbuka.

Syarikat daripada Turki dan rakan tempatannya tidak perlu “gundah-gulana” kerana mereka masih berpeluang untuk “menambat hati” tentera darat dan membekalkan sistem SPH itu kepada Malaysia, cuma mereka perlu memenangi kontrak itu secara tender terbuka.

Cuma admin harapkan, jikalau persaingan sistem meriam bergerak itu terbuka kembali, proses tender itu bukan sahaja dilakukan secara telus tetapi cepat kerana tentera darat telah “menunggu” sistem itu sejak “berdekad” lamanya.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...