Siapa Pemilik Kekayaan Sumber Asli Bernilai US$4 Trillion Afghanistan?
Dan kini, selepas Taliban berjaya menguasai semula Afghanistan, kumpulan militan itu akan mewarisi pelbagai khazanah yang amat berharga dan amat diperlukan oleh industri-industry berteknologi tinggi dunia pada masa ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun sering dilanda konflik bersenjata dan dikatakan antara negara termiskin di dunia dengan penduduknya hanya hidup dengan US$2 sehari, Afghanistan sebenarnya adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli bernilai– menjelaskan mengapa ia sentiasa menjadi menjadi rebutan antara kuasa-kuasa besar dunia daripada dahulu sehingga kini.
Dan kini, selepas Taliban berjaya menguasai semula Afghanistan, kumpulan militan itu akan mewarisi pelbagai khazanah yang amat berharga dan amat diperlukan oleh industri-industry berteknologi tinggi dunia pada masa ini.
Tetapi apa yang menyebabkan negara Asia Selatan ini amat kaya?
Afghanistan kaya kerana ia “duduk” di atas pelbagai sumber mineral yang dianggarkan bernilai di antara US$1 trilion (RM4.1 trilion) hingga US$3 trilion (RM12 trilion) dan perkara ini diperakui oleh pihak Amerika Syarikat sendiri menerusi United States Geological Survey (USGS).
Pakar-pakar USGS telah menjalankan kajian yang mendalam tentang sumber-sumber mineral yang dimiliki oleh Afghanistan dan mendapati negara yang “miskin dan bermasalah itu” memiliki simpanan mineral yang banyak seperti emas, perak, tembaga, besi, chromite, lithium, uranium dan aluminium.
Kajian oleh pihak USGS mendapati perut bumi Afghanistan menyimpan sekurang-kurangnya 60 juta metric tan tembaga, 2.2 bilion tan bijih besi, 1.4 juta tan elemen nadir bumi atau (rare earth elements) (REEs) seperti lanthanum, cerium, neodymium selain aluminium, emas, perak, zinc, mercury dan lithium.
Jika Arab Saudi adalah “raja” kepada pengeluaran minyak dunia, maka Afghanistan pula boleh menjadi “raja” bagi pengeluaran “lithium” jika ada pihak yang berjaya memanafaat kehadiran nadir bumi itu untuk pasaran dunia.
Menurut pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang melakukan analisa terhadap satu lokasi di wilayah Ghazni menunjukkan deposit lithium Afghanistan adalah sama besar dengan apa yang dimiliki oleh Bolivia yang diperakui sebagai memiliki rizab deposit lithium terbesar di dunia.
Pihak USGS juga menganggarkan bahawa deposit di Kompleks Khanneshin di wilayah Helmand boleh menghasilkan di antara 1.1 juta metrik tan hingga 1.4 juta metrik tan elemen nadir bumi (REE).
Ramai pakar menyatakan bahawa sumber-sumber nadir bumi yang dimiliki oleh Afghanistan adalah diantara yang terbesar di dunia dan adalah tidak memeranjatkan negara yang terletak di kedudukan strategik itu menjadi sasaran oleh negara-negara kuasa besar yang lain selepas Amerika Syarikat selesai mengundurkan tenteranya pada 1 Sept nanti.
China sudah pun memulakan langkah pertama dalam mendekati militant Taliban, untuk mengeskploit sumber hasil nadir bumi Afghanistan serta mineral lain untuk kepentingan industrinya.
Beijing telah menjemput pemimpin-pemimpin Taliban ke negara itu baru-baru ini untuk mengadakan perbincangan, tidak lama sebelum kumpulan militant itu menawan Kabul.
Elemen nadir bumi (REE) adalah elemen penting dalam pembuatan barangan atau komponen peralatan teknologi masa kini seperti telefon bimbit, televisyen, kereta elektrik, computer, laser dan bateri serta pelbagai macam barangan yang lain.
Selain penting untuk barangan awam, REE juga amat penting untuk penghasilan komponen industri pertahanan seperti sistem navigasi, peluru berpandu, satelit dan sistem komunikasi tentera.
Apa yang menyukarkan kerajaan Afghanistan untuk mengeksploitasi kekayaan sumber-sumber mineralnya adalah keadaan politik yang tidak stabil serta keadaan bentuk muka-buminya yang amat mencabar dengan bukit-bukau serta gunung-ganangnya.
Jika ia dapat mengatasi masalah ketidakstabilan politik akibat campurtangan kuasa-kuasa dunia yang sentiasa mencengkamnya sejak berkurun lamanya, maka Afghanistan sudah semestinya bakal menjadi antara negara terkaya dunia dengan sumber-sumber aslinya.
Comments are closed.