Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Seminggu Konflik Di Gaza, Pejuang Palestin Telah Lancar 3,500 Roket Ke Israel – IDF

Bagaimanapun, lebih daripada 1,200 roket pejuang Palestin itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome, manakala kira-kira 450 hingga 500 buah roket yang dilancarkan itu jatuh di dalam kawasan Gaza, sebagaimana didakwa oleh tentera Israel.

0 802

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak bermulanya konflik terbaru di antara pejuang-pejuang Palestin dengan tentera Israel pada Isnin lepas (sudah seminggu konflik berlangsung), pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 3,500 roket ke bandar-bandar utama Israel.

Ini telah disahkan oleh tentera Israel sendiri hari ini.

Bagaimanapun, lebih daripada 1,200 roket pejuang Palestin itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome, manakala kira-kira 450 hingga 500 buah roket yang dilancarkan itu jatuh di dalam kawasan Gaza, sebagaimana didakwa oleh tentera Israel.

Keberkesanan sistem Iron Dome perlu diakui dengan kadar pemintasan berada pada tahap 80-90 peratus ( tinggi untuk sistem pertahanan udara).

Sehingga hari ini, 10 orang penduduk Israel disahkan terbunuh akibat serangan roket daripada Gaza itu manakala puluhan yang lain cedera.

Roket Gaza

Walaupun berhadapan dengan serangan udara yang hebat daripada pesawat-pesawat pejuang Israel (sehingga 160 buah pesawat pejuang Israel terlibat dalam serangan udara), ia masih tidak dapat menghentikan serangan roket daripada Gaza.

Sehingga kini pejuang-pejuang Palestin masih lagi meneruskan serangan roket, walaupun kadar pelancarannya sedikit berkurangan berbanding pada hari-hari awal konflik itu bermula.

Bukan sahaja Israel gagal menghentikan serangan-serangan roket,  roket-roket pejuang Palestin semakin jauh jaraknya sehingga mencapai 220km ke bandar Eilat yang terletak berhampiran dengan Laut Merah.

Bayangkan pada 2007, roket Qassam yang dibina oleh Palestin di woskyop-woksyop tersembunyi hanya mampu mencecah jarak di antara 10km hingga 15km, tetapi kini roket “Ayyash” memiliki jarak lebih daripada 200km. (dengan bantuan teknikal pihak luar)

Semua ini dicapai walau Gaza dikepung setiap penjuru ibarat sebuah penjara terbuka.

Rocket Gaza

Disebabkan peningkatan kemampuan roket-roket pejuang Palestin, banyak bandar-bandar utama Israel menjadi sasaran pada konflik kali ini berbanding konflik terdahulu, malah Tel Aviv yang merupakan ibu negara Israel dan nadi ekonomi negara itu teruk dibedil kali ini.

Menurut tentera Israel, pejuang-pejuang Palestin secara puratanya melancarkan di antara 400 hingga 500 roket sehari, tetapi apa yang berbeza kali ini berbanding konflik pada 2014 adalah ia melancarkan sehingga 130 buah roket dalam masa satu jam.

Ia adalah strategi baru yang digunakan oleh pejuang-pejuang Palestin kali ini iaitu melancarkan roket dalam jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat.

Walaupun gencatan senjata bakal dicapai dalam tempoh beberapa hari mendatang ini dengan Israel melaungkan kepada seluruh dunia bahawa ia berjaya memusnahkan infrastruktur ketenteraan pejuang Palestin di Gaza, namun semua tahu ia gagal sebagaimana ia telah gagal pada 2014.

Dan selepas berakhirnya konflik terbaru ini, Hamas dan pejuang daripada kumpulan Palestin yang sudah pasti akan berusaha untuk meningkatkan lagi kemampuan roket-roket mereka, sebagaimana yang mereka lakukan selepas 2014.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...