Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Polis Sabah Tembak Mati Lima Anggota Kumpulan Abu Sayyaf Di Beaufort

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, empat dari yang ditembak mati itu dikenali sebagai Mabar Binda, Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda dan Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya.

0 970

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang berpengkalan di selatan Filipina mati ditembak oleh Polis Sabah dalam satu operasi khas, di sebuah kawasan setinggan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada pukul 11.27 pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, empat dari yang ditembak mati itu dikenali sebagai Mabar Binda, Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda dan Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya.

Semuanya yang warga Filipina berumur di antara 20an hingga 40an.

Beliau berkata, Mabar Binda yang ditembak mati pagi semalam itu  adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas itu dan berada dalam senarai dikehendaki oleh pasukan keselamatan Filipina.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan Ba’iah dengan kumpulan militan Daesh/ISIS.

Abu Sayyaf

“Polis juga mengesyaki sekiranya masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Kejayaan menembak mati lima anggota kumpulan Abu Sayyaf semalam itu adalah susulan kepada penahanan  lapan anggotanya warganegara Filipina oleh Polis dan ESSCom dalam satu operasi khas juga di Taman Sri Arjuna, Beaufort baru-baru ini.

Kelapan-lapan mereka ditahan bersama 29 lagi individu semuanya warganegara Filipina dalam operasi di kawasan paya bakau di daerah terbabit pada pukul 3 pagi itu.

Ketika kejadian pagi semalam itu, Hazani berkata, , pasukan keselamatan telah mengetuk pintu dua rumah dikawasan setinggan itu.

Bagaimanapun salah seorang suspek telah melepaskan tembakan dan pada masa sama suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang keluar menyerang anggota keselamatan sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Abu Sayyaf

“Salah seorang daripada lapan anggota Abu Sayyaf yang ditahan pada 8 Mei itu adalah abang kepada suspek (Mabar) dan dalam kejadian semalam, polis turut menemui dan merampas dua pucuk pistol semi auto colt.45, 20 butir peluru hidup, dua kelongsong dan tiga bilah parang,” katanya.

Katanya polis percaya mereka kembali ke kawasan paya bakau itu untuk mendapatkan bekalan makanan selain tempat persembunyian kerana ia terlindung daripada kawasan orang ramai.

Dalam pada itu, Hazani percaya suspek telah berada dikawasan itu sejak November tahun lalu dan bagaimana mereka boleh berada di paya bakau itu kini dalam pemantauan pihak berkuasa namun beliau yakin ada ‘sympathizer’ yang memberi bantuan kepada mereka.

Abu Sayyaf

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...