Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sembilan Pekerja China Terbunuh, Bas Mereka Naiki Terkena Bom Di Pakistan

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, bas itu membawa 30 orang penumpang termasuk jurutera, buruh China dan “pengawal-pengawal keselamatan” Pakistan sedang dalam perjalanan ke projek pembinaan empangan janakuasa itu dan kem penginapan mereka di Barseen.

0 977

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sembilan rakyat China dan tiga warga Pakistan terbunuh selepas sebutir bom meletup dan mengenai bas dinaiki mereka ke Empangan Janakuasa Hidro Dasu yang sedang dibina oleh syarikat China di utara Pakistan.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, bas itu membawa 30 orang penumpang termasuk jurutera, buruh warga China dan “pengawal-pengawal keselamatan” Pakistan sedang dalam perjalanan ke projek pembinaan empangan janakuasa itu dari kem penginapan mereka di Barseen.

Letupan bom itu kemudiannya telah menyebabkan bas itu jatuh terjunam ke dalam curam.

Media tempatan mendakwa enam daripada yang terbunuh itu adalah jurutera rakyat China.

Bilangan kematian dan kecederaan dijangka akan meningkat.

Dasu
Empangan Dasu di Pakistan yang dibina oleh syarikat China.

Kedutaan China di Pakistan mengesahkan kejadian yang menimpa rakyat mereka itu dan meminta kerajaan Islamabad supaya melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan rakyatnya yang tercedera dalam kejadian itu serta menjamin keselamatan mereka.

Ia juga meminta pihak berkuasa Pakistan melakukan siasatan dan menangkap mereka yang terlibat dalam kejadian pengeboman itu.

Pihak kedutaan turut meminta rakyat dan syarikatnya yang berada di Pakistan supaya berhati-hati dan tidak keluar daripada kediaman mereka kecuali jika benar-benar perlu.

Dasu
Gambar kredit AP

 

Pihak berkuasa tempatan Pakistan telah mengerahkan helikopter untuk mengangkut mereka yang tercedera dalam kejadian itu.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian melahirkan rasa terkejutnya terhadap kejadian pengeboman itu dan mengutuk keras insiden itu yang berlaku di Wilayah Kyber Pakhtunkhwa yang terletak di utara Pakistan dan bersempadan dengan wilayah Kashmir.

Projek pembinaan Empangan Janakuasa Hidro Dasu itu dibina oleh syarikat China, Gezhouba yang mampu menjana kuasa elektrik sebanyak 4,200 Mega Watt dan menyediakan 8,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Empangan bernilai US$2 bilion itu akan menampung kekurangan bekalan elektrik yang sedang dialami oleh Pakistan.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...