Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sembilan Kapal Pengawal Pantai China Dikesan Ronda Perairan Malaysia Jan-Sept 2024

Menurut laporan dikeluarkan oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), sekurang-kurangnya sebuah kapal pengawal pantai China dikesan berada di "stesen" mereka dalam perairan Malaysia setiap hari untuk tempoh selama enam minggu sebelum digantikan oleh kapal lain.

0 836
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Daripada 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini, didapati sebanyak sembilan buah kapal pengawal pantai China berlainan telah melakukan rondaan sepanjang masa (clockwork) di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua (continental shelf) milik Malaysia.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), sekurang-kurangnya sebuah kapal pengawal pantai China dikesan berada di “stesen” mereka dalam perairan Malaysia setiap hari untuk tempoh selama enam minggu sebelum digantikan oleh kapal lain.
Kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China dalam perairan ZEE dan pelantar benua Malaysia itu dikesan hasil data Automatic Identification System (AIS) yang menjejaki pergerakan mereka sepanjang tahun ini sehingga bulan Sept.
Ia berkata, data daripada AIS menunjukkan kapal pengawal pantai CCG 5403 meronda dalam perairan Malaysia daripada 1 Jan-Jan 6 manakala CCG 5303 (6 Jan-17 Feb), CCG 5403 (17 Feb-28 Mac), CCG 5103 (27 Mac-6 Mei), CCG 5205 (6 Mei-15 Jun), CCG 5101 (15 Jun-28 Julai), CCG 5102 (28 Julai-3 Sept) dan CCG 5403 (3 Sept-30 Sept).
“Kebanyakkan kapal-kapal pengawal pantai China itu menghabiskan masa meronda di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) yang terletak 80 batu nautika daripada Sarawak.

China

“Beberapa kapal pengawal pantai China juga didapati bergilir-gilir melakukan rondaan di perairan pelantar benua di antara Malaysia, Indonesia dan Vietnam dengan melakukan pelayaran di kawasan-kawasan projek minyak dan gas Vietnam di Blok 06-01, 12W dan 05-03 serta di Blok D-Alpha milik Indonesia,” menurut laporan AMTI.
Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) terletak di antara beberapa projek minyak dan gas besar Malaysia, di mana sebahagian besarnya bermula dua tahun lepas.
Badan penyelidikan itu menyatakan pada tahun lepas sahaja, 25 buah telaga yang baru telah digerudi membawa kepada 19 penemuan sumber minyak dan gas dianggarkan berjumlah 1 bilion tong bersamaan minyak (1 billion of oil equivalent).
Laporan oleh AMTI juga menyatakan bahawa kapal-kapal pengawal pantai China itu kerap kali “melawat” (melakukan rondaan) di kawasan-kawasan projek minyak dan gas yang baru itu dan berada hanya 1,000 meter daripada platform produksi di Timi, Kasawari dan Jerun.
Projek pembangunan Lapangan Gas Kasawari, yang merupakan lapangan gas mega luar pantai itu sedang dibangunkan oleh syarikat minyak kebangsaan Malaysia di dalam kawasan perairan ZEE negara di Laut China Selatan.
Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu.China
Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. 
Lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.
Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia, di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.
AMTI juga menyatakan bahawa, walaupun berhadapan dengan rondaan kapal-kapal pengawal pantai China, Malaysia bukan sahaja meneruskan projek-projek minyak dan gas di kawasan perairan ZEE dan pelantar benua miliknya, tetapi ia juga bertindak meningkatkannya lagi.
Dengan peningkatan projek-projek minyak dan gas Malaysia di kawasan perairan terbabit, Beijing boleh meningkatkan tekanan terhadap Malaysia berhubung projek terbabit, menurut AMTI.
Monster
Kapal pengawal pantai terbesar China yang digelar “Monster”.
Ketika berada di Vladivostik, Russia bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak dan gas di dalam kawasan perairannya di Laut China Selatan walaupun dibantah oleh Beijing.
Anwar berkata beliau pasti bahawa penerokaan minyak yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara.
“China adalah rakan kita, tetapi kita perlu beroperasi di dalam kawasan perairan kita untuk memastikan kita mendapat manfaat, termasuk penggerudian dalam kawasan wilayah negara.
(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita, kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media di hari terakhir lawatan kerja ke Rusia.
Beijing dilaporkan menerusi nota diplomatik menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti minyak dan gas di kawasan kaya minyak di perairan Sarawak, walaupun kawasan itu terletak dalam wilayah perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia. — DSA
 
Comments
Loading...