Selepas Konflik Dengan Pakistan, India Kini Mahu Tambah Skuadron S-400 Triumf Dimilikinya
Penambahan skuadron tambahan sistem pertahanan udara S-400 oleh India itu bertujuan meningkatkan lagi keupayaannya untuk menangani ancaman udara daripada kuasa tentera serantau seperti Pakistan dan China, selain kemungkinan untuk menggantikan sistem itu yang musnah dalam konflik Pakistan-India baru-baru ini, sebagaimana didakwa oleh Pakistan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya sebulan selepas konflik ketenteraan paling serius dalam tempoh terdekat dengan Pakistan, India dilaporkan bercadang memperolehi satu atau dua skuadron tambahan sistem pertahanan udara S-400 Triumf, bagi menambah lima skuadron sistem pertahanan udara buatan Russia yang diperolehinya.
Penambahan skuadron tambahan sistem pertahanan udara S-400 oleh India itu bertujuan meningkatkan lagi keupayaannya untuk menangani ancaman udara daripada kuasa tentera serantau seperti Pakistan dan China, selain kemungkinan untuk menggantikan sistem itu yang musnah dalam konflik Pakistan-India baru-baru ini, sebagaimana didakwa oleh Pakistan.
Pada ketika ini,tiga daripada lima buah skuadron S-400 yang diperolehinya daripada Russia telah pun dihantar ke India dan sudah beroperasi manakala dua lagi buah skuadron sistem pertahanan udara itu dijangka diperolehi oleh New Delhi pada tahun depan.
Bagi meningkatkan lagi pertahanan udaranya, Tentera Udara India juga sedang membangunkan Projek Kusha melibatkan pembangunan sistem pertahanan udara jarak jauh Precision-Guided Long-Range Surface-to-Air Missile (PGLRSAM) yang direka untuk membantu S-400 dan bersaing dengan sistem pertahanan udara S-500 keluaran Russia.
India secara rasmi memeterai perjanjian pembelian sistem pertahanan S-400 Triumf, pada 5 Oktober 2018 dalam satu kontrak bernilai sekitar US$5.4 billion atau kira-kira ₹35,000 crore.
Perjanjian itu dimeterai semasa Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi oleh Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Russia Vladimir Putin, menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan pertahanan udara India serta mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara kedua-dua negara.
S-400, yang dikenali dalam kalangan Angkatan Tentera India sebagai “Sudarshan Chakra,” ialah sistem pertahanan udara jarak jauh yang mampu memintas dan memusnahkan pelbagai ancaman udara seperti pesawat pejuang, peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah, dan dron pada jarak sejauh 400 kilometer.

India menempah lima skuadron S-400 di bawah perjanjian itu, dengan penghantaran pertama tiba pada Disember 2021 dan terus dikerahkan ke pangkalan udara Pathankot di Punjab, berhampiran sempadan dengan Pakistan.
Skuadron kedua dihantar pada Julai 2022 dan ditempatkan di kawasan Sikkim bagi menghadapi sebarang ancaman udara dari sempadan China, manakala skuadron ketiga mula beroperasi di sektor Rajasthan-Gujarat pada Februari 2023, memperkukuh liputan pertahanan udara di kawasan barat laut negara itu.
Dengan tiga skuadron kini beroperasi penuh, dua lagi masih dalam jadual penghantaran dan dijangka tiba secara berperingkat pada 2026, menurut pengesahan daripada sumber rasmi Russia.
Sistem S-400 ini merupakan antara sistem pertahanan udara paling berkemampuan di dunia dan sering dibandingkan dengan sistem THAAD dan Patriot buatan Amerika Syarikat, menjadikannya aset strategik yang sangat penting dalam pelan pertahanan udara India.
Walaupun Amerika Syarikat memberi amaran tentang kemungkinan sekatan di bawah Akta CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act), India tetap meneruskan pembelian sistem pertahanan udara India atas dasar keperluan keselamatan nasional dan demi mengekalkan kebebasan strategik dalam menentukan dasar pertahanan negaranya.
Dengan perolehan S-400, India kini menyertai kelompok elit negara-negara yang memiliki sistem pertahanan udara berlapis dan pelbagai domain, sekaligus mengubah landskap kuasa udara di Asia Selatan dan memberi isyarat tegas bahawa New Delhi bersedia menghadapi sebarang ancaman dari dua front serentak.

Projek Kusha: Usaha India Bangunkan Sistem Pertahanan Udara Jarak jauh Tempatan
India kini sedang membangunkan sistem pertahanan udara jarak jauh generasi baharu yang dikenali sebagai Projek Kusha, dalam usaha memperkukuh pertahanan strategik negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap sistem import seperti S-400 buatan Rusia.
Diterajui oleh agensi penyelidikan pertahanan India, Defence Research and Development Organisation (DRDO), Projek Kusha merupakan inisiatif India bertujuan untuk membangunkan sistem peluru berpandu darat-ke-udara jarak jauh yang mampu menangkis ancaman udara seperti pesawat pejuang, peluru berpandu ballistik, peluru berpandu kruis, sistem pesawat tanpa pemandu, dan sasaran hypersonik.
Sistem ini dirancang untuk mengisi jurang di antara sistem pertahanan udara jarak sederhana India seperti MR-SAM (jangkauan 80 km) dengan sistem S-400 (jangkauan 400 km), melalui pembangunan peluru berpandu dalam tiga varian utama: M1 (150 km), M2 (250 km) dan M3 (350–400 km).
Sistem Kusha dijangka dilengkapi teknologi pemintasan terkini termasuk ‘kill vehicle’ kawalan vektor tujahan, sistem panduan radio-frekuensi dan inframerah (RF/IR), serta kebarangkalian tembakan tepat yang melebihi 90 peratus dalam satu pelancaran, menjadikannya salah satu sistem pertahanan udara paling canggih pernah dibangunkan oleh India.
Kelulusan pembangunan Projek Kusha diberikan oleh Cabinet Committee on Security (CCS) pada Mei 2022, manakala kelulusan rasmi perolehan lima skuadron sistem ini untuk Tentera Udara India (IAF) diberikan pada September 2023 dengan nilai kontrak dianggarkan sekitar ₹21,700 crore (lebih US$ 2.6 billion).
Pembangunan infrastruktur pengeluaran sedang dijalankan oleh Bharat Electronics Limited (BEL) dengan kilang prototaip dijangka siap sepenuhnya antara tahun 2026 hingga 2027, sebelum memasuki fasa ujian sistem dan penerbangan selama satu hingga tiga tahun.
Ujian penerbangan bagi varian pertama, M1, dijangka bermula pada tahun ini, dengan pengoperasian awal sistem dirancang untuk tahun 2028, manakala pelancaran penuh untuk semua varian dijangka menjelang 2030, menjadikannya salah satu program pertahanan strategik terbesar India dekad ini.

