Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem Pertahanan Udara S-400 “Triumf” Terbaik Di Pasaran, Mengatasi Sistem Barat

Menurut ketua pegawai eksekutif Rosoboronexport Alexander Mikheyev, sistem pertahanan udara S-400 boleh menembak jatuh peluru berpandu ballistik daripada 60km jauhnya manakala 400km bagi sasaran-sasaran udara aerodinamik yang lain seperti pesawat pejuang.

0 7,724

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan sedang memasarkan secara agresif sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” di rantau Timur Tengah, yang didakwa adalah sistem pertahanan udara terbaik di pasaran pada ketika ini.

Menurut ketua pegawai eksekutif Rosoboroexport Alexander Mikheyev, sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 adalah lebih baik berbanding sistem-sistem pertahanan udara buatan negara-negara Barat.

“Terdapat beberapa negara telah menunjukkan minat mereka untuk mempertahankan wilayah mereka dan infrastruktur penting daripada potensi ancaman-ancaman udara,” kata beliau sambil menambah, negara-negara ini mahu meningkatkan kemampuan sistem pertahanan udara mereka.

Dibandingkan dengan sistem pertahanan udara buatan negara Barat, Mikheyev berkata, sistem pertahanan udara S-400 memiliki kemampuan yang luar biasa untuk menumpaskan peluru berpandu ballistik dan juga peluru-peluru berpandu aerodinamik dalam keadaan konflik yang sebenar.

Menurut beliau, sistem pertahanan udara S-400 boleh menembak jatuh peluru berpandu ballistik daripada 60km jauhnya manakala 400km bagi sasaran-sasaran udara aerodinamik yang lain seperti pesawat pejuang.

S-400
S-400 “Triumf”

 

Antara aspek unik pada sistem pertahanan udara S-400 adalah peluru berpandu anti-pesawatnya seperti 48N6E3 yang berkemampuan untuk menangani ancaman-ancaman ballistik dan juga sasaran aerodinamik pada pelbagai altitude.

Sistem radar S-400 boleh mengesan dan menjejaki sasaran udara pada jarak 600km.

“Telah dibuktikan dalam pelbagai operasi tentera bahawa sistem-sistem pertahanan moden Barat gagal menangani sasaran ballistik hampir 100 peratus,” kata Mikheyev.

Baru-baru ini, dilaporkan varian terbaru sistem pertahanan udara S-400 akan menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 yang dipertingkatkan keupayaannya dan telah pun menunjukkan keberkesanannya dalam konflik yang berlaku di Ukraine pada ketika ini.

“Sistem pertahanan udara S-400 kini menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 mampu menembak jatuh sasaran pada jarak yang lebih jauh, adalah sistem paling canggih di dunia dan dilengkapi dengan homing head dengan kemampuan yang unik.”

“Sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu kelas 40N6 serta digandingkan dengan pesawat amaran awal A-50U boleh menyerang sasaran termasuk sasaran yang bergerak dalam kelajuan tinggi pada altitud yang rendah,” menurut sumber kepada media pertahanan Russia.

Kementerian Pertahanan Russia bercadang untuk memperolehi lebih daripada 1,000 peluru berpandu pemintas terbarunya, 40N6 pada tahun-tahun akan mendatang ini.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400 “Triumf”

 

Walaupun terdapat kebimbangan bahawa Russia akan berhadapan dengan masalah dalam penghantaran senjata yang dihasilkannya kepada pelanggan-pelanggan luarnya akibat sekatan ekonomi yang ketat daripada negara-negara Barat, namun kebimbangan itu ternyata tidak berasas.

Mikheyev menyatakan bahawa penghantaran sistem pertahanan udara S-400 ke India berjalan dengan lancar dan tidak pernah dihentikan,

Beliau berkata kontrak tersebut berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pada 2018, India menandatangani perjanjian bernilai US$5.4 bilion (RM25.7 bilion) dengan Russia untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400, dengan laporan terkini menyatakan bahawa New Delhi telah mengerahkan tiga buah skuadron sistem pertahanan udara buatan Russia itu di sempadannya dengan China.

Kesemuanya, India dipercayai memesan lima buah skuadron sistem pertahanan udara S-400 dengan baki dua buah skuadron itu diletakkan di sempadan negara itu dengan sebuah lagi negara pesaing tradisinya iaitu Pakistan. — DSA

Notis

Comments
Loading...