Salah Sebuah Pesawat Pejuang Rafale India Ditembak Jatuh Sistem Pertahanan Udara HQ-9B Pakistan ??
Bekas Pegawai Kanan Tentera Udara Pakistan itu berkata, radar canggih pada sistem HQ-9B telah berjaya mengesan dan mensasarkan sebuah pesawat India — dipercayai sama ada Rafale atau Su-30MKI — ketika pertempuran udara di ruang udara Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Seorang bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan mendakwa bahawa salah sebuah daripada tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara HQ-9B buatan China ketika konflik empat hari kedua-dua negara pada awal Mei lalu.
Pendedahan itu dilakukan oleh bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan Komodor Udara Khalid Chisti dalam satu siaran podcast baru-baru ini.
Menurut beliau, yang memiliki lebih 3,000 jam penerbangan serta memegang anugerah “Curtain of Military Excellence” dan “Curtain of Valor”, sistem HQ-9B buatan China itu yang mula berkhidmat dengan Tentera Udara Pakistan pada tahun 2023 bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya sebuah pesawat India dalam pertempuran udara yang berlaku pada 6 dan 7 Mei 2025.
Beliau berkata, radar canggih pada sistem HQ-9B telah berjaya mengesan dan mensasarkan sebuah pesawat India — dipercayai sama ada Rafale atau Su-30MKI — ketika pertempuran udara di ruang udara Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Kenyataan Chishti itu secara tidak langsung mengiktiraf kepentingan sistem pertahanan udara HQ-9B yang mempunyai jarak operasi sejauh 260 kilometer dan digambarkan setanding dengan sistem S-300 dan S-400 buatan Rusia dalam keupayaannya memintas pesawat, peluru berpandu balistik serta peluru berpandu kruis pada ketinggian dan jarak yang jauh.
Pendedahan beliau itu sekaligus bertentangan dengan kenyataan rasmi dibuat oleh kerajaan Pakistan dan menteri-menteri kabinetnya tentang cara bagaimana pesawat pejuang tercanggih milik Tentera Udara India itu telah ditembak jatuh pada hari-hari awal konflik antara Islamabad dan New Delhi itu.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengarah Perhubungan Awam Antara-Perkhidmatan (DGISPR) dan Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menyatakan bahawa pesawat India itu berjaya ditembak jatuh oleh pesawat pejuang buatan China jenis J-10CE yang dilengkapi dengan peluru berpandu jarak jauh PL-15E.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Menurut beliau, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu dipercayai ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang J-10C atau JF-17 “Thunder” menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 yang dibangunkan oleh China.
Pesawat pejuang J-10C yang digunakan oleh Tentera Udara Pakistan itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) manakala pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara usahasama antara CAIG dan Pakistan Aaeronautical Complex (PAC).
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dipercayai masih berada di dalam ruang udara negara itu ketika ia bertindak melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India ketika hari-hari pertama konflik di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu.
Pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan pada hari-hari pertama konflik Pakistan-India itu disifatkan oleh pemerhati sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.

Walaupun kerajaan India enggan mengakui ia kehilangan beberapa pesawat pejuangnya pada konflik dengan Pakistan itu, namun beberapa pegawai tinggi tenteranya telah tampil kehadapan untuk menyatakan keadaan sebenar.
Semasa Shangri-La Dialogue di Singapura, Ketua Staf Angkatan Tentera India Jen Anil Chauhan mengakui ia telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik ketenteraan dengan Pakistan beberapa minggu lalu, namun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang yang ia telah hilang ketika konflik itu.
“Apa yang penting adalah bukanlah soal pesawat pejuang itu telah jatuh, tetapi mengapa ia (pesawat pejuang) itu jatuh, “ kata beliau dalam satu temuramah dengan Bloomberg TV ketika sedang menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura.
Beliau juga menyatakan bahawa dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India adalah “tidak tepat sama sekali”, namun pada masa yang sama tidak mendedahkan bilangan sebenar pesawat pejuang miliknya yang ditembak jatuh.
“Mengapa mereka (pesawat pejuang) itu jatuh, apa kesilapan yang telah kita buat, ia adalah lebih penting,” kata Chauhan ketika ditanya berkenaan pesawat pejuang itu.
“Bilangan adalah tidak penting,” kata beliau.
“Apa yang baik adalah kita mampu memahami kesilapan-kesilapan taktikal yang telah kita buat, mengenalpasti dan memperbaikinya dan melaksanakan semula selepas dua hari selepas itu dan menerbangkan kesemua pesawat pejuang kita dan membedil sasaran pada jarak jauh,” kata beliau tentang konflik Pakistan-India yang tercetus pada 7 Mei lepas.

Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti ketika ditanya pemberita tentang dakwaan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya ditembak jatuh oleh Pakistan, hanya berkata bahawa, “kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan beberapa buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Sistem pertahanan udara HQ-9 yang dihasilkan oleh China kini menjadi antara aset strategik terpenting dalam memperkukuh pertahanan udara Pakistan.
HQ-9, yang sering dibandingkan dengan sistem pertahanan udara S-300 dan S-400 buatan Rusia, direka untuk mengesan, mengunci dan memusnahkan pelbagai ancaman termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu balistik serta peluru berpandu kruis pada jarak jauh dan altitud tinggi.
Antara kelebihan utama sistem HQ-9 adalah radar susunan fasa aktif (phased array radar) yang berupaya mengesan sasaran sejauh lebih 300 kilometer serta mengendalikan pelbagai sasaran serentak dalam satu masa.
Versi terbaharu sistem ini, HQ-9B, mempunyai beberapa penambahbaikan ketara berbanding model asalnya.
HQ-9B dilengkapi dengan peluru berpandu darat-ke-udara (SAM) jarak jauh yang mampu memintas sasaran pada jarak maksimum sehingga 260 kilometer, bergantung kepada jenis sasaran dan profil penerbangannya.
Sistem radar HQ-9B dikatakan berupaya mengesan pesawat pejuang dengan jejak radar rendah, pesawat amaran awal (AWACS), peluru berpandu balistik jarak sederhana serta peluru berpandu kruis, termasuk di persekitaran peperangan elektronik.

Selain itu, HQ-9B boleh menyerang sasaran pada altitud antara 500 meter sehingga 30 kilometer, menjadikannya mampu memintas sasaran di pelbagai ketinggian.
Setiap bateri HQ-9B biasanya terdiri daripada:
-
Sistem radar kawalan tembakan berprestasi tinggi dengan susunan radar fasa aktif.
-
Pelancar peluru berpandu, lazimnya sehingga 8 pelancar untuk setiap unit, dengan setiap pelancar membawa empat peluru berpandu.
-
Kenderaan sokongan logistik termasuk kenderaan pengangkut-pengisi (transporter erector launcher, TEL) dan pusat kawalan operasi bergerak.