Russia Tawar Sewaan Kapal Selam Nuklear Kelas-Akula Kedua Pada Tentera Laut India ?
Tawaran kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua kepada Tentera Laut India itu hadir ketika negara Asia Selatan itu sedang berusaha memodenkan kemampuan maritimnya dan menonjolkan kuasanya di Lautan Hindi dan Indo-Pasifik.
Dalam simbol hubungan dan kerjasama erat pertahanan di antara India dan Rusia, Moscow dilaporkan telah menawarkan sewaan kepada India kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua dilengkapi dengan peluru berpandu kruis Kalibr kepada New Delhi.
Tawaran kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua kepada Tentera Laut India itu hadir ketika negara Asia Selatan itu sedang berusaha memodenkan kemampuan maritimnya dan menonjolkan kuasanya di Lautan Hindi dan Indo-Pasifik.
India juga sedang berhadapan dengan cabaran peningkatan rondaan daripada kapal-kapal selam konvensional dan nuklear China di Lautan Hindi, tidak jauh daripada sempadan maritimnya.
Pada ketika ini, Tentera Laut India sedang mengoperasikan sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula yang disewakan kepadanya oleh Rusia.
Pada Mac 2019, India memuktamadkan perjanjian strategik bernilai kira-kira USD 3 bilion (RM14 bilion) dengan Rusia untuk menyewa sebuah kapal selam serangan berkuasa nuklear kelas-Akula, yang bakal diberi nama INS Chakra III apabila beroperasi di bawah panji Tentera Laut India.
Perjanjian tersebut, yang dimeterai sebagai Inter-Governmental Agreement (IGA), menetapkan tempoh penyewaan selama 10 tahun, sekali gus menjadikan India antara segelintir negara yang mampu mengendalikan aset tempur bawah permukaan berkuasa nuklear di luar daripada armada kapal selam balistik strategiknya sendiri.
INS Chakra III, yang berasaskan rekabentuk Projek 971 Shchuka-B (kod NATO: Akula), merupakan kesinambungan daripada dua kapal selam sewaan nuklear terdahulu – INS Chakra I (K-43 Charlie-class) pada era Soviet lewat 1980-an dan INS Chakra II (K-152 Nerpa) yang beroperasi antara 2012 hingga 2021.

Difahamkan, kapal selam yang dipilih untuk program ini sedang menjalani proses naik taraf komprehensif di limbungan Rusia bagi memastikan ianya mampu beroperasi dalam keadaan optima, termasuk keupayaan peluru berpandu jarak jauh seperti Kalibr yang boleh menjangkau sasaran lebih 1,500 kilometer.
Bagaimanapun, beberapa laporan menyebut bahawa kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian INS Chakra III mengalami penangguhan, dengan anggaran tarikh penghantaran terbaru dijangka antara 2025 hingga 2028, bergantung kepada jadual penyelesaian di limbungan Rusia.
Dalam konteks strategik, kehadiran sebuah lagi kapal selam serangan nuklear (SSN) memberi Tentera Laut India opsyen tambahan untuk menjalankan rondaan jarak jauh, operasi menjejak kapal selam musuh, dan melindungi laluan laut penting di Lautan Hindi yang semakin kritikal.
Kapal selam kelas Akula sendiri terkenal dengan ciri senyapnya, kelajuan tinggi di bawah permukaan dan kapasiti persenjataan pelbagai termasuk torpedo dan peluru berpandu, menjadikannya tulang belakang kekuatan bawah permukaan Angkatan Laut Rusia sejak era Perang Dingin.
Bagi India, penambahan INS Chakra III bakal menjadi jambatan penting ke arah mengasah kepakaran krew dan jurutera marin dalam mengendalikan teknologi nuklear bawah air, seiring dengan pengoperasian program INS Arihant-class, iaitu kapal selam balistik nuklear (SSBN) buatan tempatan.
Langkah ini juga dilihat sebagai isyarat kuat kepada China yang terus memperluas armada kapal selamnya di Lautan Hindi melalui kehadiran tetap kapal selam konvensional dan nuklear di pangkalan pelabuhan sahabat di rantau Asia Selatan.
Secara keseluruhannya, penyewaan kapal selam kelas Akula kedua ini memperkukuh rancangan India untuk mengekalkan ‘credible minimum deterrence’ di perairan serantau, di samping memupuk ekosistem industri tempatan ke arah pembangunan kapal selam serangan berkuasa nuklear buatan sendiri pada masa depan.
