Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Tawar Sistem Pertahanan Udara Jarak Jauh S-400 “Triumf” Kepada Iran

Media Amerika Syarikat, The Washington Post dalam satu laporannya baru-baru ini menyatakan Moscow telah menjemput delegasi daripada Iran pada bulan lepas untuk melawat pelbagai kemudahan pembuatan senjatanya termasuk kemudahan syarikat yang membina beberapa komponen penting sistem pertahanan udara S-400.

0 29,182

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di tengah-tengah ketegangan antara Iran dan Israel, Russia dilaporkan telah menawarkan kepada Teheran sistem pertahanan udara canggih, S-400 “Triumf” yang berkemampuan meningkatkan keupayaan negara Parsi itu untuk mengekang serangan udara daripada Israel dan Amerika Syarikat.

Media Amerika Syarikat, The Washington Post dalam satu laporannya baru-baru ini menyatakan Moscow telah menjemput delegasi daripada Iran pada bulan lepas untuk melawat pelbagai kemudahan pembuatan senjatanya termasuk kemudahan syarikat yang membina beberapa komponen penting sistem pertahanan udara S-400.

Delegasi yang terdiri daripada 17 orang pegawai kanan Iran itu telah dibawa melawat kemudahan milik syarikat START NPP yang terletak di bandar Yekaterinburg yang terlibat dalam pembuatan komponen-komponen kritikal untuk sistem pertahanan udara S-400.

Sistem pertahanan udara S-400 sememangnya amat digeruni oleh dunia Barat kerana kemampuannya untuknya untuk mengesan dan memusnahkan sasaran udara termasuk pesawat-pesawat pejuang yang dikategorikan sebagai halimunan seperti F-35.

Sistem pertahanan udara S-400 itu berkemampuan menembak jatuh sasaran udara sejauh 400km.

S-400
S-400 “Triumf”

 

Tentera Udara Amerika Syarikat dan Tentera Udara Israel adalah pengguna pesawat F-35.

Beberapa varian sistem pertahanan udara S-400 itu dilengkapi dengan radar berkuasa tinggi yang boleh menewaskan teknologi halimunan yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang seperti F-35 serta pesawat pengebom.

Russia dilaporkan turut mengerah sistem pertahanan udara S-400 di pangkalan-pangkalan tenteranya di Syria dan ia telah mengancam pesawat-pesawat pejuang Israel dan Amerika Syarikat yang beroperasi di kawasan itu.

Menurut pegawai-pegawai perisikan Amerika Syarikat, lawatan delegasi Iran ke kemudahan pembuatan senjata Russia itu membuktikan betapa eratnya hubungan pertahanan di antara kedua-dua negara, terutamanya selepas tercetusnya konflik di Ukraine.

Russia dilapor menggunakan dron-dron berani mati “Shahed-136” yang dibangunkan oleh industri pertahanan Iran dalam serangannya terhadap sasaran tentera Ukraine dan infrastruktur awam seperti loji janakuasa dan sebagainya.

Shahed
Dron berani mati, “Shahed-136”

 

Selain dron-dron berani mati, Iran turut membekalkan dron-dron untuk tujuan Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) kepada Russia.

Pada Februari lalu, Iran dilaporkan telah menghantar kira-kira 400 buah peluru berpandu darat-ke-darat berkuasa tinggi kepada Russia, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan pertahanan dan ketenteraan yang semakin rapat di antara kedua-dua negara itu.

 Enam sumber dipetik oleh agensi berita antarabangsa Reuters berkata bahawa kebanyakkan daripada peluru berpandu darat-ke-darat jarak dekat itu adalah daripada keluarga “Fateh-110” seperti “Zolfaghar.”

Menurut pakar-pakar ketenteraan, peluru berpandu darat-ke-darat yang dihantar Iran ke Russia itu berkeupayaan membedil sasaran dengan tepat daripada kedudukan sejauh di antara 300km hingga kepada 700km.

Iran dipercayai menggunakan kapal-kapal laut di laluan Laut Kaspia dan pesawat pengangkut untuk menghantar peluru-peluru berpandu terbabit ke Russia.

Pada November tahun lepas,  Timbalan Menteri Pertahanan Iran Brig Jen Mahdi Farahi menyatakan bahawa negara itu telah memuktamadkan perjanjian dengan Russia untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 dan helikopter tempur Mil Mi-28 “Havoc”.

Su-35
Pesawat pejuang Su-35

 

Iran telah pun menerima pesawat pejuang ringan merangkap pesawat FLIT (Fighter Lead-In Trainer) Yak-130 “Mitten” buatan Russia pada September tahun lalu

Pesawat latihan Yak-130 “Mitten” itu akan membolehkan Iran melatih juruterbang-juruterbangnya mengendalikan pesawat pejuang generasi 4+++ seperti Su-35 dan juga pesawat pejuang generasi kelima seperti Su-57 “Felon.”

Iran dilaporkan memperolehi sebanyak 24 buah pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu.

Kesemua 24 buah pesawat pejuang Su-35 yang bakal diterima Iran itu sepatutnya dijual kepada Mesir pada mulanya tetapi Kaherah membatalkan pembelian itu selepas diancam oleh Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekira ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.– DSA

Iklan

Comments
Loading...