Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Persiap “Unit Pembunuh” Untuk Buru Abrams, Challenger Dan Leopard

Ketika kereta-kereta kebal Barat seperti Challenger, Leopard dan Abrams bakal menyertai konflik di Ukraine dalam tempoh terdekat ini, tentera Russia pula sedang mempersiapkan "unit-unit pembunuh" kereta kebal untuk memburu dan memusnahkan kereta-kereta kebal Barat itu.

0 5,577

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan telah menubuhkan dan sedang melatih unit-unit “pembunuh kereta kebal” bagi menangani kereta-kereta kebal buatan negara Barat yang akan dioperasikan oleh tentera Ukraine dalam tempoh terdekat ini.

Menurut ketua pusat latihan tentera Russia Evgeny Arifulin kepada media negara itu, penubuhan unit-unit “pembunuh” atau “pemburu” kereta kebal Ukraine itu telah diarahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Russia Yunus-Bek Yevkurov.  

Unit-unit khas pembunuh kereta kebal Russia akan berhadapan dengan kereta-kereta kebal buatan Barat yang bakal dioperasi oleh tentera Ukraine tidak lama lagi seperti Challenger 2 buatan United Kingdom, Leopard 2 buatan Jerman dan M1-A1 buatan Amerika Syarikat.

Kornet
“Kornet”

 

“Ini adalah kerja skala besar dan sistemik yang dilakukan diperingkat kebangsaan. Kita semua tahu tentang kekuatan dan kelemahan kereta-kereta kebal Barat terbabit dan sedang melatih anggota kita untuk ‘berperang’ dengan kereta kebal itu,” kata beliau.

Beliau berkata, pihak tentera Russia telah mengkaji kereta-kereta kebal Barat yang telah pun tiba di Ukraine dengan terperinci, serta kereta kebal M1-A1 yang dijangka tiba di negara bergolak itu dalam beberapa tempoh beberapa bulan akan datang ini.

Arifulin berkata tenaga-tenaga pengajar kepada unit “pembunuh kereta kebal” itu adalah terdiri daripada anggota tentera Russia yang amat berpengalaman di dalam selok-belok peperangan terkini.

“Unit-unit pembunuh kereta kebal tentera Russia itu akan terdiri sekumpulan kecil anggota tentera yang dilengkapi dengan pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal dan juga dron-dron pemantau, yang akan bertindak dalam mencari sasaran-sasaran mereka.”

Sementara itu seorang penganalisis pertahanan berkata kereta-kereta kebal Barat yang dihantar ke Ukraine dilengkapi dengan lapisan armor reaktif bagi memberikan perlindungan tambahan kepadanya.

Poland
Kereta kebal M1A2 SEPv3 “Abrams”

 

Bagaimana beliau juga menyatakan bahawa tidak ada kereta kebal yang benar-benar “kebal” dan ia adalah aset yang boleh ditumpaskan.

Beliau menjangkakan bahawa unit-unit “pembunuh kereta kebal” Russia itu akan dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” yang telah pun digunakan dengan jaya antaranya oleh tentera Hezbollah ketika ia memusnahkan kereta kebal milik Israel iaitu Merkava yang diperakui sebagai antara kereta kebal terbaik dunia pada masa ini.

Sejak bermulanya konflik di Ukraine yang berpunca daripada pencerobohan tentera Russia, pegawai-pegawai kanan di Moscow telah memberikan amaran bahawa keputusan negara-negara Barat membekalkan Kiev dengan kereta-kereta kebal moden akan hanya meningkatkan intensiti peperangan.

Walaupun begitu, pegawai-pegawai kanan Russia menaruh keyakinan tinggi bahawa kereta-kereta kebal Barat itu akan “terbakar” dengan begitu sahaja apabila berada di medan peperangan di Ukraine.

Leopard
Canselor Jerman Olaf Scholz bersama kereta kebal Leopard 2.

 

Sebelum ini, seorang pakar peperangan kereta kebal Russia itu dikenali dengan Kolonel (Bersara) Sergey Suvorov dilaporkan berkata kepada agensi berita TASS di Russia bahawa, “kelemahan” kereta kebal Abrams itu telah banyak didedahkan ketika ia beraksi pada peperangan di Iraq.

“Sebagaimana yang disaksikan di Iraq, kereta kebal Abrams boleh terbakar apabila terkena tembakan oleh tentera Iraq. (Di Iraq) Turret kereta kebal Abrams ditembusi oleh peluru 100mm yang ditembak oleh kereta kebal T-55.”

“Terdapat juga contoh dimana kereta kebal Abrams menghadapi masalah walau hanya berdepan dengan infantry fighting vehicle (IFV) BMP-2,” kata pakar Suvorov.

Selain itu, beliau juga berkata terdapat juga contoh dimana kereta kebal Abrams itu lumpuh selepas terkena peluru yang “sudah luput usianya” yang dilepaskan oleh kereta kebal T-72.

Ukraine
Challenger 2

 

“Kereta kebal Abrams memiliki kelemahannya seperti mana kereta-kereta kebal lain, yang membolehkan ia dimusnahkan oleh senjata Russia termasuk oleh kereta kebal berusia miliknya T-55 sebagaimana yang berlaku dalam peperangan di Iraq.”

Selain itu katanya, terdapat juga insiden dimana kereta kebal canggih Amerika Syarikat dimusnahkan oleh tembakan-tembakan roket RPG-7.

Pakar kereta kebal Russia itu juga mengatakan enjin tambahan kereta kebal Abrams yang terletak di bahagian belakang turret-nya untuk menjana sistem elektroniknya, juga merupakan “titik kelemahan” kereta kebal Amerika Syarikat itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...