(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Armenia dan sekutu mereka di wilayah Nagorno-Karabakh sejak kebelakangan ini nampaknya telah merungsingkan Russia.
Sebagai rakan di dalam pakatan ketenteraan Collective Security Treaty Organisation (CSTO), Russsia mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan Armenia, walaupun pada masa yang sama ia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Azerbaijan.
Beberapa hari lepas, anggota tentera Russia telah dilihat berada di kawasan sempadan antara Nagorno Karabakh dan Armenia.
Bendera-bendera Russia dipasang bagi mengelak mereka disangka sebagai tentera Armenia oleh tentera atau dron-dron Azerbaijan.
Ia adalah kejadian pertama kali sejak konflik di Nagorno Karabakh tercetus lebih daripada 20 hari lepas di mana tentera Russia telah dikerah untuk bertugas di dalam kawasan konflik sengit antara Armenia dan Azerbaijan.
Tentera Russia tersebut dipercayai berasal daripada Pengkalan Tentera 102 di Gyumri, Armenia. Negara komunis itu mempunyai pengkalan tentera di negara Kaukasus itu.
Menurut pemerhati tentera, kehadiran tentera Russia di sempadan Armenia dan Azerbaijan itu dianggap sebagai suatu amaran kepada tentera Azerbaijan supaya tidak memasuki wilayah Armenia atas apa cara sekalipun.
Memasuki wilayah Armenia mungkin akan menyebabkan Russia campurtangan di dalam konflik itu sebagai rakan CSTO.
Azerbaijan yang dibantu dengan sistem persenjataan canggih daripada Turki seperti dron Bayrakytar TB2 dan dron-dron Kamikaze buatan Israel telah berjaya menundukkan tentera Armenia di Nagorno Karabakh.
Didalam tempoh dua minggu konflik di Nagorno-Karabakh, puluhan kampung dan bandar-bandar wilayah terutamanya yang terletak di bahagian selatan wilayah itu dan yang sebelum ini diduduki oleh puak Armenia telah berjaya ditakluk semula oleh Azerbaijan.
Ia adalah suatu tamparan yang hebat kepada Armenia dan memaksa Russia mempertimbangkan “pelan baharu.”
Russia sudah tentu tidak mahu membenarkan Turki bertapak dan meluaskan pengaruhnya di selatan Kaukasus, yang selama ini dikuasainya.
Kehadiran Turki di selatan Kaukasus sudah semestinya akan melemahkan pengaruh Russia di kalangan bekas-bekas negara Kesatuan Soviet, terutamanya yang mempunyai hubungan sejarah dan “darah” dengan Ankara.
Selain itu Russia juga bimbang, jika Turki dibenarkan bertapak dan menyebarkan pengaruhnya di selatan Kaukasus, ia akan mencambahkan lagi konfliknya dengan kumpulan-kumpulan militant Islam terutamanya yang dibiayai oleh Ankara.
Untuk mengekang kemaraan tentera Azerbaijan, terdapat laporan serta rakaman video baru-baru ini yang menunjukkan tentera Russia sudah mula menggerakkan “kemampuan-kemampuan teknikalnya” seperti unit-unit peperangan elektronik ke wilayah konflik Nagorno Karabakh.
Beberapa hari selepas itu, pihak Armenia menunjukkan sekurang-kurangnya dua bangkai dron Bayraktar TB2 yang kononya berjaya ditembak jatuh oleh mereka.
Selama lebih 20 hari konflik berlaku, pihak Armenia tidak pernah berjaya menembak jatuh sebarang dron Bayraktar, kini secara tiba-tiba mereka mendakwa berjaya melakukannya.
Apakah mereka mempunyai “senjata terbaru”?
Atau Russia menerusi kemampuan peperangan elektronik mereka telah membantu Armenia dalam “menjatuhkan” dron Bayraktar TB2 serta dron-dron Kamikaze lain milik Azerbaijan, dalam usaha mengekang kemaraan tentera Azerbaijan.
Comments are closed.