Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Bimbang Kehadiran Dron “Bayraktar TB2” Di Sempadannya Dengan Ukraine

Ukraine memperolehi Bayraktar TB2 berikutan kejayaan dron buatan syarikat Baykar Makina  daripada Turki itu dalam beberapa konflik seperti di Syria, Libya dan terbaru di Nagorno-Karabakh.

0 2,433

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Moscow telah menyuarakan rasa gusarnya terhadap kehadiran dron-dron “Bayraktar TB2” yang dibeli oleh Ukraine daripada Turki di wilayah berkonflik di Donbass yang terletak di bahagian timur negara itu dengan Russia.

Ukraine memperolehi Bayraktar TB2 berikutan kejayaan dron buatan syarikat Baykar Makina  daripada Turki itu dalam beberapa konflik seperti di Syria, Libya dan terbaru di Nagorno-Karabakh.

Bayraktar TB2

Kegusaran tentang kehadiran dron Bayraktar TB2 di wilayah Donbass di timur Ukraine itu telah disuarakan oleh Timbalan Menteri Luarnya Sergey Rybakov, yang dipetik oleh portal pertahanan antarabangsa, Defense Blog.

“Sesungguhnya, tidak ada yang menggembirakan tentang dron Turki, kerana mengikut laporan kita mengesan kehadirannya di wilayah Donbass,” katanya sambil menambah, eksport dron-dron Turki ke beberapa negara adalah sesuatu yang “amat serius.”

Sejak kebelakangan ini, Russia telah menghantar puluhan ribu anggota tenteranya dan kelengkapan mereka di timur Ukraine, menimbulkan spekulasi bahawa ia sedang merancang untuk menceroboh Ukraine sekali lagi, mengulangi kejadian pada 2014 apabila ia menakluk Semenanjung Crimea.

Jika konflik meletus di wilayah Donbass, sudah pasti Ukraine akan menggunakan dron-dron “Bayraktar TB2” yang baru diperolehinya daripada Turki terhadap tentera-tentera Russia dan kelengkapan mereka di timur negara itu.

Dron “Bayraktar TB2” yang juga dikenali dengan panggilan “Pantsir-Hunter,” telah menunjukkan keberkesanannya dalam memusnahkan armor, kubu serta sistem pertahanan udara seperti yang ditunjukkannya di Libya.

Bayraktar TB2

Di Libya, sistem dron itu telah berjaya memusnahkan berapa sistem pertahanan udara “Pantsir” buatan Russia yang digunakan oleh unit-unit tentera di bawah kawalan panglima Khalifa Haftar yang disokong oleh Moscow.

“Bayraktar TB2” adalah dron medium-altitude long endurance (MALE).

Pada 2019, Ukraine telah menguji dan membeli 12 buah dron terbabit daripada Turki yang boleh diintegrasikan dengan peluru berpandu “MAM” buatan syarikat tempatan, Roketsan.

Dan tahun lepas, Ukraine mengumumkan kerjasama dengan Turki untuk menghasilkan kira-kira 48 buah dron “Bayraktar TB2” dalam negara dengan kerjasama Ankara.

Jikalau Ukraine berminat dengan dron buatan Turki, manakala bagi Ankara pula ia berminat untuk mendapatkan kepakaran di dalam pembuatan enjin sama ada untuk pesawat atau helikopter.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...