Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Russia Guna Kereta Kebal “Berani Mati” Serang Kedudukan Tentera Ukraine

Dalam satu insiden di Mariinka,wilayah Donetsk di Ukraine baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Russia menerusi kenyataan dalam aplikasi Telegramnya berkata bahawa ia telah melengkapkan sebuah kereta kebal T-54/T-55 dengan bahan letupan untuk dijadikan platform "berani mati."

0 1,381

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usahanya untuk memecah benteng pertahanan tentera Ukraine yang kini diperkuatkan dengan senjata-senjata Barat,  Russia didakwa telah menjadikan kereta kereta kebal lama T-54 atau T-55 miliknya sebagai kenderaan “berani mati”.

Ia adalah seperti apa yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pengganas, yang bertindak melengkapkan kenderaan SUV mereka dengan bahan letupan dan memandunya ke lokasi sasaran sebelum meletupkannya.

Kini tentera Russia mempraktikkan perkara yang sama, cuma bezanya, mereka menggunakan kereta kebal.

Kereta Kebal
Letupan daripada kereta kebal “berani mati”

 

Dalam satu insiden di Mariinka,wilayah Donetsk di Ukraine baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Russia menerusi kenyataan dalam aplikasi Telegramnya berkata bahawa ia telah melengkapkan sebuah kereta kebal T-54/T-55 dengan bahan letupan.

Ia mendakwa serangan terhadap kedudukan tentera Ukraine menggunakan kereta kebal dipenuhi bahan letupan yang dikawal secara remote itu telah berjaya mencapai objektifnya, namun tidak ada pihak ketiga yang dapat mengesahkan dakwaan Russia itu secara bebas.

Dalam dakwaan menerusi aplikasi Telegram itu,  Kementerian Pertahanan Russia mengatakan bahawa kereta kebal itu dipenuhi dengan 3.5 tan bahan letupan TNT dan lima butir bom FAB-100 yang setiap satunya seberat 100kg.

Bom-bom FAB-100 ini adalah bom yang digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang.

Dalam aplikasi Telegram terbabit, anggota tentera Russia “Bernaul” mendakwa dirinya bertanggungjawab melaksanakan serangan berani mati menggunakan kereta kebal dipenuhi bahan letupan itu.

“Kira-kira 300 meter daripada kedudukan musuh, operator kereta kebal itu telah membiarkan kereta kebal itu dipandu sendiri,menuju ke lokasi sasaran. Operator itu telah melompat keluar daripada kereta kebal itu dan melihat kereta kebal menuju ke sasarannya.”

“Apabila kereta kebal itu menghampiri sasaran musuh, saya bertindak meletupkan kereta kebal itu menggunakan kawalan radio,” katanya.

“Bernaul” mengatakan bahawa letupan yang terhasil daripada kereta kebal “berani mati” adalah amat dahsyat dan menerusi pintasan komunikasi tentera Ukraine, ramai di antara anggota tenteranya terkorban akibat letupan itu.

Dalam video yang dirakam oleh dron, ia menunjukkan letupan besar berlaku sebaik sahaja kereta kebal itu menghampiri banteng pertahanan tentera Ukraine.

Kereta Kebal
Bom FAB-100 seberat 100kg

 

Dalam satu lagi insiden yang berlaku baru-baru ini, tentera Russia juga didakwa melengkapkan kenderaan perisai MT-LB dengan bahan letupan sebelum meletupkannya di kedudukan tentera Ukraine daripada jarak jauh menggunakan kawalan radio.

Bukan sahaja tentera Russia melakukannya, malah Oktober tahun lepas tentera Ukraine turut menggunakan trak yang dipenuhi dengan bahan letupan untuk menyerang jambatan Kerch di Crimea sehingga menyebabkan sebahagian daripada jambatan menyeberangi Selat Kerch itu runtuh. — DSA

Russia
Russia juga jadikan kenderaan perisai MT-LB sebagai platform berani mati.

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...