Kenapa Russia Tidak Kerah Kereta Kebal Termodennya, T-14 Armata Ke Ukraine?
Peperangan antara Russia dan Ukraine telah menyebabkan sekatan ekonomi lebih ketat dikenakan terhadap Russia dan ia telah memberikan kesan yang lebih perit kepada kemampuan syarikat Uralvagonzavod untuk menghasilkan kereta kebal T-14 Armata.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kereta kebal T-14 Armata adalah kereta kebal terbaru dan paling canggih Russia, tetapi apa yang pelik adalah mengapa Moscow tidak mengerahkan kereta kebal termodennya itu ke Ukraine, dimana kehadirannya amat-amat diperlukan.
Setakat ini, kereta kebal T-14 Armata tidak mempunyai sebarang peranan dalam konflik di Ukraine. Mengapa?
Salah satu sebab mengapa Russia tidak mengerah kereta kebal tercanggihnya itu ke Ukraine adalah kerana ia tidak mempunyai bilangan kereta kebal T-14 Armata yang mencukupi untuk dikerah ke negara jirannya itu.
Sebenarnya syarikat pembuat kereta kebal Armata itu, Uralvagonzavod sepatutnya memulakan produksi bersiri kereta kebal itu pada 2018 tetapi disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh negara Barat, ia tidak dapat melakukannya.
Syarikat sepatutnya menyerahkan kira-kira 80 buah Armata kepada Tentera Russia pada akhir tahun ini.
Bagaimanapun, berikutan peperangan antara Russia dan Ukraine yang menyebabkan sekatan ekonomi lebih ketat dikenakan terhadap Russia, ia telah memberikan kesan yang lebih perit kepada kemampuan syarikat Uralvagonzavod untuk menghasilkan kereta kebal Armata.
Penganalisis Barat mendakwa kereta kebal T-14 Armata yang memiliki rekabentuk seperti kereta kebal Barat itu turut menggunakan bahan dan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat Barat.

Sekatan ekonomi yang lebih ketat oleh negara Barat memungkinkan kesukaran di pihak Russia untuk mengimport bahan dan teknologi Barat yang digunakan dalam pembikinan kereta kebal T-14 Armata itu.
Akibat sekatan Barat, produksi kereta kebal termoden Russia itu dihentikan dengan serta merta manakala pengeluaran kereta kebal T-72 dan T-90 dikurangkan dengan mendadak.
Akibat sekatan ekonomi ketat oleh Barat, syarikat itu berhadapan dengan masalah untuk menghasilkan kereta kebal terutamanya Armata.
Comments are closed.