Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peningkatan Risiko “Konfrontasi” Di Laut China Selatan Akibat Projek Minyak Dan Gas

Menurut laporan oleh badan penyelidik antarabangsa, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpangkalan di Washington, risiko konfrontasi dan pertembungan (standoff) di dalam kawasan Nine Dash Line dituntutnya di Laut China Selatan semakin meningkat selaras dengan peningkatan aktiviti carigali minyak dan gas oleh beberapa negara di rantau ini.

0 3,416

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun menerima ancaman dan gangguan daripada kapal-kapal pengawal pantai China, negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam tetap meneruskan aktiviti mencarigali minyak dan gas di beberapa lokasi di Laut China Selatan yang terletak di dalam apa yang dipanggil oleh Beijing sebagai “Nine Dash Line.”

Beijing mendakwa keseluruhan kawasan perairan Laut China Selatan yang terletak di dalam Nine Dash Line itu adalah miliknya.

Hampir 80 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan itu berada di dalam Nine Dash Line, bagaimanapun dakwaan pemilikan oleh Beijing terhadap perairan strategik itu tidak pernah diperakui oleh mana-mana badan antarabangsa.

Perairan di dalam Nine Dash Line yang didakwa oleh China sebagai miliknya.

 

Menurut laporan oleh badan penyelidik antarabangsa, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), risiko konfrontasi dan pertembungan antara China dengan negara-negara serantau di dalam kawasan Nine Dash Line dituntutnya di Laut China Selatan, semakin meningkat selari dengan peningkatan aktiviti carigali minyak dan gas oleh beberapa negara di rantau ini.

Badan penyelidikan yang berpangkalan di Washington itu berkata, tahun lepas keadaan “agak senyap” dengan tidak banyak ketegangan berlaku berkenaan projek-projek minyak dan gas.

“Bagaimanapun dengan projek-projek minyak dan gas yang baru pada tahun 2023, pembangunan minyak dan gas sekali lagi bakal menjadi punca utama kepada ketegangan membabitkan beberapa negara,” kata laporan itu.

China, Indonesia,Malaysia dan Vietnam sedang melaksanakan projek-projek minyak dan gas di kawasan perairan Laut China Selatan tetapi Filipina pula terus menggantung projek-projek hidrokarbon di perairan terbabit, keputusan diambilnya sejak tahun 2014, kata AMTI.

Beijing sendiri telah mula membangunkan beberapa projek gas di selatan Pulau Hainan termasuk dua lapangan gas di  Yinggehai Basin dan dua lagi di lapangan di Qiongdongnan Basin.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Lapangan-lapangan gas ini terletak di dalam kawasan yang dituntut oleh Vietnam dan China, menurut laporan oleh AMTI itu.

Kedua-dua negara berjiran itu mempunyai sejarah pertelingkahan yang panjang tentang aktiviti minyak dan gas di Laut China Selatan.

Hanoi mendakwa Beijing secara berterusan menganggu platform cari gali miliknya dan menekan syarikat-syarikat asing supaya mereka berhenti bekerjasama dengan rakan-rakan Vietnam mereka.

Namun, laporan oleh AMTI itu mengatakan bahawa syarikat milik negara Russia, Zarubezhneft, yang mengoperasikan Block 06-1 di Nam Con Son Basin di Vietnam telah meneruskan operasinya, walaupun kawasan itu terus menerima kehadiran kapal pengawal pantai China sejak pertengahan tahun 2020.

Di lapangan gas berhampiran, Sao Vang-Dai Nguyet, yang dioperasikan oleh syarikat Jepun, Idemitsu Kosan, juga “telah mula beroperasi secara senyap—senyap.

Selain itu, Petrovietnam juga telah mula mengekstrak gas daripada empat telaga dan lapangan pada tahun lepas.

oil rig
Kapal pengawal pantai China sentiasa mengawasi platform minyak dan gas milik Vietnam.

 

Menurut laporan AMTI, rakan-rakan asing seperti Harbour Energy, ExxonMobil dan ONGC Videsh Ltd meneruskan pelaburan mereka di Vietnam.

Bagaimanapun, China nampak berkeras untuk menghalang negara-negara jirannya dariapada menjalankan eksplorasi minyak dan gas di dalam kawasan Nine Dash Line yang dituntutnya, walaupun Nine Dash Line itu telah diisytiharkan sebagai haram oleh Tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016.

Sementara itu pada Januari lepas, kerajaan Indonesia telah meluluskan pelan bernilai US$3 bilion (RM12 bilion) untuk membangunkan Lapangan Gas Tuna di kawasan selatan Nine Dash Line di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu.

Tidak lama selepas pengumuman oleh kerajaan Indonesia itu, China telah mengerahkan kapal pengawal pantai terbesarnya dikenali dengan panggilan “The Monster” untuk meronda kawasan perairan terbabit.

Keadaan yang sama berlaku terhadap Malaysia di mana kapal-kapal pengawal pantai China telah melakukan rondaan yang ekstensif berhampiran blok-blok eksplorasi minyak dan gas milik negara itu di luar pantai Sarawak.

AMTI
(kredit AMTI)

 

“Walaupun berdepan dengan beberapa insiden dengan kapal pengawal pantai China dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kuala Lumpur tetap meneruskan beberapa projek minyak dan gas di Laut China Selatan,” menurut laporan oleh AMTI.

Sejak tahun lepas, tiga penemuan hidrokarbon telah berjaya dibuat di kawasan eksplorasi di luar pantai Sarawak, di lokasi yang merupakan hab bagi aktiviti minyak dan gas Malaysia serta rondaan oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Pada September tahun lepas, aktiviti eksplorasi telah berjaya menemui gas di Blok SK320 manakala pada Disember pula, telaga eksplorasi di Blok SK306 dan SK410B juga telah membuahkan hasil.

Sementara itu produksi di Lapangan Gas Kasawari yang menjadi sasaran kapal-kapal peronda China pada 2021, tetap diteruskan dengan pengeluaran gas dijangka bermula pada tahun ini.

Selain itu Lapangan Gas Kasawari juga kakal menempatkan operasi Carbon Capture Storage terbesar di dunia.

AMTI
(kredit AMTI)

 

Pada tahun lepas juga, Malaysia telah berjaya menyelesaikan proses perlesenan empat blok eksplorasi ultra-laut dalam di luar pantai Sabah, dengan kerjasama operator Perancis dan United Kingdom, menurut laporan oleh AMTI itu.

Satu perjanjian Production Sharing Contract (PSC) untuk Blok 2K telah ditandatangani pada Oktober di antara syarikat TotalEnergies daripada Perancis,Petronas dan Shell, dengan Shell sebelum itu turut menandatangani kontrak untuk blok-blok 2V, 2W dan X.

Seorang professor ekonomi di University Queensland, John Quiggin yang dipetik oleh Radio Free Asia menyatakan bahawa negara-negara di rantau ini supaya tidak “relax.”

“Adalah amat mudah untuk konfrontasi-konfrontasi sebegini untuk bertukar kepada insiden tembak-menembak yang sebenar, sebagaimana yang telah berlaku di kawasan sempadan di antara India dan China,” kata beliau. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...