Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Dalam Lingkungan Hak Malaysia Membangunkan Sumber Aslinya” – Petronas

"Kami (Petronas) percaya bahawa kami bertindak di dalam lingkungan hak kami dan berharap semua pihak menghormatinya, kerana ia adalah di dalam lingkungan hak Malaysia untuk membangunkan sumber aslinya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas YM Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

0 2,383

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat minyak dan gas negara, Petronas menegaskan bahawa kawasan akitiviti carigali hidrokarbon yang dilaksanakannya pada ketika ini berada “di dalam perairan berdaulat (Malaysia),” menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas YM Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Bercakap kepada Channel News Asia, beliau berkata, tiada peningkatan insiden pencerobohan pada ketika ini dan (Petronas) telah bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara.

“Tiada kejadian-kejadian tidak diingini telah berlaku, kami (Petronas) percaya bahawa kami bertindak di dalam lingkungan hak kami dan berharap semua pihak menghormatinya, kerana ia adalah di dalam lingkungan hak Malaysia untuk membangunkan sumber aslinya,” kata beliau dalam temuramah dengan stesen televisyen yang berpangkalan di Singapura.

Petronas

Tengku Muhammad Taufik ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Petronas dengan media tempatan di salah sebuah hotel tempatan semalam.

Beliau juga berkata bahawa syarikat itu telah melindungi kakitangan, asetnya dan cara melaksanakan perniagaan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun terbuka untuk mengadakan rundingan jika China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah mereka.

Menurutnya, perkara itu dinyatakan beliau kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.

“Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan, terutama kebimbangan China dan kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

“Saya nyatakan sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

APMM
Kapal pengawal pantai China.

 

“Bagaimanapun, jika China rasa ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Kehadiran berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di luar pantai Sarawak, sememangnya didorong oleh projek pembangunan lapangan gas mega bernilai berbilion-bilion Ringgit yang sedang dilaksanakan oleh syarikat minyak kebangsaan, Petronas.

Kapal-kapal pengawal pantai China termasuk kapal seberat 12,000 tan digelar “The Monster”  “mensasarkan” projek pembangunan Lapangan Gas Kasawari, yang merupakan lapangan gas mega luar pantai yang sedang dibangunkan oleh syarikat minyak kebangsaan Malaysia di dalam kawasan perairan ZEE negara di Laut China Selatan.

Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu.

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. 

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

Dijangka mula beroperasi pada tahun ini, lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.

Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Kompleks LNG Petronas di Bintulu itu terdiri daripada sembilan keretapi produksi (production trains) dengan kapasiti keseluruhan mencecah 29.3 juta tan setahun (million tonnes per annum –Mtpa).

Ia adalah di antara kemudahan produksi LNG terbesar di dunia.

Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia. Lapangan gas itu terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.

Lapangan gas mega ini terletak di gugusan Beting Patinggi Ali dan kapal-kapal pengawal pantai China memang gemar “singgah” di kawasan perairan ini.

Kasawari
(kredit AMTI)

 

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), pada tahun lepas sahaja kapal-kapal pengawal pantai China menghabiskan masa sebanyak 316 hari daripada 365 hari dalam setahun di gugusan Beting Patinggi Ali itu.

Blok SK316 yang menempatkan Lapangan Gas Kasawari itu juga mengandungi lapangan NC3 dan NC8.

Blok SK316 menempatkan beberapa penemuan gas berskala besar dan prospek eksplorasi dengan tahap kandungan karbon dioksida yang tinggi.

Selain usaha-usaha mengekstrak gas asli di Lapangan Gas Kasawari itu, terdapat juga projek Carbon Capture Storage (CCS) bernilai RM4.5 bilion yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara di lapangan gas mega di perairan ZEE negara itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...