Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Usaha Perancis Pasarkan Rafale “Gagal”, Kazakhstan Pilih Su-30SM Dan TOR-M2 Russia

Timbalan Panglima Pertahanan Udara dan ketua Jabatan Persenjataan Kazakhstan Yerhan Nildibayev dipetik sebagai berkata oleh agensi berita TASS bahawa Kazakhstan akan membeli 10 buah pesawat pejuang Su-30SM dan dua bateri sistem pertahanan udara TOR-M2 buatan Russia.

0 8,376

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Walaupun cuba “dipancing” oleh Perancis supaya membeli pesawat pejuang Rafale, namun Tentera Udara Kazakhstan akhirnya memutuskan bahawa pesawat pejuang Su-30SM buatan Russia sebagai pilihannya.

Timbalan Panglima Pertahanan Udara dan ketua Jabatan Persenjataan Kazakhstan Yerhan Nildibayev dipetik sebagai berkata oleh agensi berita TASS bahawa Kazakhstan akan membeli 10 buah pesawat pejuang Su-30SM dan dua bateri sistem pertahanan udara TOR-M2 buatan Russia.

Kedua-dua sistem persenjataan, Su-30SM dan TOR-M2 akan diperolehi di dalam tempoh 2023-2024.

“Kita tiada perancangan untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale (buatan Perancis). Ia adalah pesawat pejuang yang mahal, jadi kita memilih pesawat pejuang Su-30SM disebabkan nisbah kualiti dan harganya,” menurut beliau.

Kenyataan oleh Nildibayev itu sekaligus menamatkan usaha Perancis yang sejak beberapa bulan lepas telah mempertingkatkan usahanya untuk memasarkan pesawat pejuang Rafale kepada negara-negara Asia Tengah seperti Kazakhstan.

Kazakhstan
Pesawat Su-30SM milik Tentera Udara Kazakhstan.

 

Bagaimanapun, tiada laporan daripada Uzbekistan setakat ini tentang keputusannya sama ada akan memperolehi pesawat pejuang Rafale.

Sebelum ini, Uzbekistan dilaporkan berminat untuk membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

Pada Nov lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron melakukan lawatan rasmi ke Kazakhstan dan Uzbekistan dalam usahanya untuk “menjalin hubungan” yang lebih rapat dengan kedua-dua bekas negara anggota Kesatuan Soviet.

Moscow telah melahirkan “kebimbangannya” tentang usaha negara-negara Barat “memisahkan” Russia daripada negara-negara Asia Tengah terbabit.

Menteri Luarnya Sergey Lavrov dilaporkan berkata bahawa negara-negara Barat cuba “menarik” negara-negara jiran, rakan dan sekutunya daripadanya.

Su-30MKM
Pesawat Sukhoi Su-30SM2.

 

Ini bukanlah kali pertama Russia menyuarakan kegusarannya terhadap usaha negara-negara Barat di Asia Tengah sejak beberapa bulan lepas.

“Amerika Syarikat dan sekutunya sedang cuba untuk menyokong sentiment nasionalis, menyebarkan penipuan dalam pendapat umum termasuk menerusi internet dan media-media sosial,” kata timbalan Jawatankuasa Keselamatan Russia Alexander Shevtsov pada Jun lepas.

Sebagai bekas negara anggota Kesatuan Soviet, Kazakhstan dan Uzbekistan banyak menggunakan sistem persenjataan buatan Russia termasuk pesawat-pesawat pejuangnya.

Kedua-dua negara Asia Tengah yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Russia bercadang untuk membersarakan khidmat pesawat-pesawat pejuang buatan buatan Russia yang telah berusia dan menggantikannya dengan pesawat-pesawat pejuang baru.  

Tentera Udara Kazakhstan dijangka membersarakan pesawat pejuang MiG-29 manakala Tentera Udara Uzbekistan akan menamatkan khidmat pesawat pejuang Su-27.

TOR
Sistem pertahanan udara “TOR’ .

 

Selain MiG-29, Kazakhstan juga telah meletakkan lebih daripada 100 buah pesawat pejuang dan pesawat pengebom dibina pada era Soviet untuk dijual kepada mana-mana pihak yang berminat.

Pesawat-pesawat pejuang bekas era Soviet berserta dengan enjin-enjinnya yang mahu dijual oleh oleh negara Asia Tengah itu terdiri daripada MiG-31, MiG-27 dan Su-24 yang dibina ketika ketegangan era Perang Dingin pada 1970-an dan 1980-an.

Menurut laporan oleh media tempatan di Kazakhstan, pengumuman berkenaan penjualan 117 buah aset-aset usang milik negara itu telah disebarkan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...