Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

🎬Pejuang Palestin Musnah 300 Buah Kereta Kebal, Perisai Israel – Panglima Pengawal Revolusi Iran

“Laporan daripada lapangan menunjukkan bahawa anggota-anggota pejuang Palestin telah berjaya memusnahkan 300 daripada 1,600 kereta kebal dan kereta perisai tentera Israel di medan peperangan.” -- Panglima Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) Mejar Jeneral Hossein Salami.

0 1,570

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) Mejar Jeneral Hossein Salami mendakwa maklumat daripada lapangan menunjukkan daripada 1,600 kereta kebal dan kereta perisai tentera Israel yang dikerah ke Gaza, kira-kira 300 buah daripadanya telah dimusnahkan oleh pejuang-pejuang Palestin setakat ini.

Bagaimanapun katanya, tentera Israel menghalang penyebaran maklumat itu untuk menjaga moral anggota tentera serta masyarakat awam negara Yahudi itu.

“Laporan daripada lapangan menunjukkan bahawa anggota-anggota pejuang Palestin telah berjaya memusnahkan 300 daripada 1,600 kereta kebal dan kereta perisai tentera Israel di medan peperangan.”

“Bagaimanapun rejim Israel telah menghalang penyebaran berita itu kerana ia sedang berhadapan dengan situasi yang buruk di medan peperangan dan ekonominya turut mengalami kesan serta kerugian yang besar akibat konflik di Gaza,” kata beliau.

Hossein dilaporkan oleh agensi berita Iran, IRNA sebagai berkata demikian ketika bertemu dengan anggota-anggota sukarela Basij di Qazvin di utara Teheran baru-baru ini.  

(Video menunjukkan serpihan kereta kebal Israel yang berjaya dimusnah oleh pejuang Hamas.)

 

Kenyataan oleh Hossein tentang jumlah kemusnahan kereta kebal dan kereta perisai dialami oleh tentera Israel itu tidak banyak berbeza dengan anggaran yang dibuat oleh penganalisis tentera antarabangsa baru-baru ini.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran adalah cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Iran, ditubuhkan selepas Revolusi Iran pafa 22 April 1979[3] atas arahan Ayatollah Khomeini.

Kor Pengawal Revolusi Iran itu dipercayai mempunyai kira-kira 125,000 askar termasuk pasukan darat, aeroangkasa dan laut. 

Menurut penganalisis tentera antarabangsa, sejak bermulanya konflik bersenjata di diantara pejuang Palestin dengan tentera Israel pada 7 Okt hingga ke hari sebelum bermulanya gencatan senjata, sebanyak 335 buah kenderaan tenpur pelbagai jenis milik tentera Israel dilaporkan musnah atau rosak akibat pertempuran setakat ini.

(Barangan milik tentera Israel yang berjaya dirampas oleh pejuang Palestin)

 

Kenderaan milik tentera Israel yang dilaporkan musnah atau rosak akibat pertempuran yang berlaku di Gaza, Israel serta selatan Lubnan itu termasuklah kereta-kereta perisai, kereta kebal, helikopter, bas, lori tangki dan lain-lain.  

“Sementara itu, seramai 392 anggota tentera Israel dilaporkan terbunuh sementara lebih daripada 2,000 anggota tentera Israel Defense Force (IDF) mengalami kecederaan.”

Sementara itu laporan turut menyatakan bahawa konflik di antara Palestin dan Israel ketika ini telah menyebabkan ekonomi negara Yahudi itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$48 bilion (RM216 bilion) untuk tahun ini dan tahun depan.

Palestin

Salami
Panglima Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) Mej Jen Hossein Salami.

 

Leader Capital Market dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Israel akan menanggung dua pertiga daripada kos keseluruhan perang itu manakala satu pertiga ditanggung oleh Amerika Syarikat menerusi bantuan ketenteraannya.

Kementerian Kewangan Israel juga menyatakan bahawa konflik ketika ini menyebabkan negara Yahudi itu terpaksa berbelanja sebanyak US$270 juta (RM1.2 bilion) setiap hari untuk melaksanakan peperangan itu.

Peperangan itu bermakna kerajaan Israel terpaksa meminjam daripada sumber-sumber luar untuk membiayai ekonominya yang terjejas teruk akibat peperangan itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...