Radar Pesawat Pejuang Halimunan J-20 China Kini Boleh Kesan Musuh Tiga Kali Ganda Lebih Jauh
Menurut kenyataan universiti berkenaan, cip berasaskan SiC yang dibangunkan oleh pasukan Xu telah meningkatkan prestasi radar susunan fasa (phased array), khususnya sistem radar KLJ-5 AESA yang digunakan pada pesawat pejuang J-20.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — China mengumumkan pencapaian penting dalam teknologi radar ketenteraannya apabila mendakwa pesawat pejuang halimunan J-20 “Mighty Dragon” miliknya kini mampu mengesan pesawat musuh pada jarak tiga kali ganda berbanding sebelum ini, susulan integrasi cip semikonduktor berasaskan Silikon Karbida (SiC) dibangunkan dalam negara.
Pengumuman itu dibuat menerusi saluran rasmi media sosial Universiti Shandong pada 30 Mei lalu, dengan memuji sumbangan saintis Profesor Xu Xiangang dan pasukannya atas kejayaan teknologi tersebut.
Profesor Xu mengetuai Institut Semikonduktor Baharu di universiti itu dan juga berperanan sebagai Pengarah Makmal Utama Negara bagi Bahan Kristal, menjadikannya antara tokoh utama dalam usaha China membangunkan keupayaan semikonduktor strategik dengan kepakaran tempatan.
Menurut kenyataan universiti berkenaan, cip berasaskan SiC yang dibangunkan oleh pasukan Xu telah meningkatkan prestasi radar Phased Array, khususnya sistem radar KLJ-5 AESA yang digunakan pada pesawat pejuang J-20.
Naik taraf ini dilaporkan telah meningkatkan jarak pengesanan radar J-20 sebanyak tiga kali ganda, membolehkan ia mengenalpasti sasaran udara dengan lebih pantas, lebih tepat dan pada jarak yang jauh lebih jauh berbanding sebelum ini.
Selain daripada peningkatan keupayaan radar, cip SiC itu turut dikatakan mampu meningkatkan ketepatan panduan peluru berpandu, kuasa senjata laser, dan ketahanan keseluruhan sistem radar dalam situasi peperangan elektronik dan suhu tinggi.
“Cip buatan China ini amat penting untuk keselamatan negara,” kata Universiti Shandong dalam kenyataan tersebut, sambil menyifatkan bahan itu sebagai “perisai utama” kepada sistem pertahanan canggih negara.

Dalam satu video yang dimuat naik bersama kenyataan tersebut, Profesor Xu mengakui bahawa Amerika Syarikat telah lama menggunakan semikonduktor berasaskan SiC dalam sistem seperti pesawat halimunan F-35 dan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD.
Namun beliau menegaskan bahawa kejayaan China menghasilkan sendiri kristal SiC yang berkualiti tinggi menandakan pencapaian penting dalam usaha berdikari selepas hampir dua dekad ketinggalan di belakang kuasa Barat.
“Dua puluh tahun dahulu, kami langsung tidak mampu menghasilkan substrat yang memenuhi standard asas,” katanya. “Kini, kami boleh mengawal pertumbuhan dan kualiti bahan ini dengan tepat.”
J-20, yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2017, telah digambarkan oleh Beijing sebagai simbol utama kesetaraan teknologi (technology equalizer) dengan pesawat F-22 dan F-35 milik Amerika Syarikat.
Radar KLJ-5, yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Teknologi Elektronik Nanjing (NRIET), beroperasi dalam frekuensi X-band dan menggunakan modul pemancar-penerima solid-state yang mampu mengesan dan menjejak pelbagai sasaran secara serentak sambil memberikan panduan kepada peluru berpandu jarak jauh.
Sebelum ini, penilaian sumber terbuka meletakkan jarak pengesanan radar KLJ-5 digunakna oleh J-20 sekitar 300 kilometer terhadap sasaran bersaiz pesawat pejuang biasa.
Namun dengan integrasi teknologi SiC, penganalisis ketenteraan China kini mendakwa jarak pengesanan radar KLJ-5 digunakan oleh pesawat pejuang J-20 tersebut boleh mencecah 600 hingga 700 kilometer, bergantung kepada profil radar dan ketinggian sasaran.
Ini menjadikan J-20 sebagai antara platform pengesanan udara paling berkeupayaan di dunia pada ketika ini.

Penambahbaikan radar ini juga membolehkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15 digunakan secara lebih efektif, dengan kebolehan untuk mengunci dan melancarkan serangan sebelum pesawat itu sendiri dikesan oleh musuh.
Keupayaan ini amat penting di rantau Indo-Pasifik, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Selat Taiwan dan Laut China Selatan yang sering menjadi lokasi rondaan oleh pesawat Amerika Syarikat, Jepun dan sekutunya.
Tambahan pula, integrasi cip SiC turut meningkatkan integriti isyarat dan ketahanan haba radar KLJ-5, membolehkannya beroperasi secara optimum walaupun dalam suasana peperangan elektronik yang agresif — satu aspek penting dalam peperangan udara moden bertaraf tinggi.
Universiti Shandong turut memuji kejayaan Xu dalam meningkatkan saiz pertumbuhan kristal SiC daripada 2 inci kepada 12 inci, yang membolehkan pengeluaran besar-besaran cip radar gred ketenteraan.
Teknologi beliau telah dipindahkan kepada syarikat semikonduktor utama di China seperti SICC dan Summit Crystal Semiconductor, sekali gus membantu memecahkan monopoli teknologi asing yang telah lama mendominasi pasaran ini.
Sejak tahun 2000, penyelidikan Xu telah membolehkan penggunaan bahan SiC dalam pelbagai sistem persenjataan canggih termasuk radar udara, sensor kapal perang dan peluru berpandu berpandu tepat.
Pengumuman ini juga hadir ketika China sedang berdepan sekatan ketat oleh Amerika Syarikat terhadap eksport komponen semikonduktor berteknologi tinggi, terutamanya yang melibatkan penggunaan dalam ketenteraan, aeroangkasa dan kecerdasan buatan.
“Apabila negara kita tidak lagi boleh mendapatkan bahan ini dari luar, kami berdedikasi untuk membangunkannya sendiri di dalam negara,” kata Xu.
