Pusat Ujian Rahsia ICBM Soviet Di Tyuratam, Catatan Penulis
Admin berpeluang "berkunjung" ke Baikonur Cosmodrome (dahulu dikenali nama Tyuratam) di Kazakhstan (tetapi disewa oleh Russia) atas urusan "kerja" untuk melihat lebih dekat lokasi yang dirahsiakan kewujudan suatu ketika dahulu oleh rejim Komunis kerana bukan sahaja lokasi itu menempatkan kemudahan angkasa lepas Kesatuan Soviet tetapi ia juga merupakan pusat ujian peluru berpandu ICBM (Inter Continental Ballistic Missile) rahsianya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Setiap kali membaca atau terlihat klip-klip di kaca televisyen berkenaan Baikonur Cosmodrome yang terletak di selatan Kazakhstan, admin akan tersenyum kerana banyak kenangan manis ketika berada di lokasi yang dirahsiakan kewujudannya suatu ketika dahulu oleh pihak Soviet Union (USSR).
Ya, Baikonur Cosmodrome telah wujud sejak tahun 1955 pada ketika Kementerian Pertahanan USSR sedang berlumba-lumba dengan Amerika Syarikat untuk mencipta sejarah untuk manusia di bidang angkasa lepas yang baru diterokai.
Sebelum ini,ia tidak dikenali dengan nama Baikonur Cosmodrome, tetapi ketika kemuncak Perang Dingin antara Blok Komunis diketuai USSR dan Barat pihak tentera Amerika, USSR memanggilnya “Pusat Ujian Peluru Berpandu ICBM Tyuratam.” (Tyuratam Missile Range)
Walaupun telah wujud pada tahun 1955, USSR tidak pernah mengakui kewujudan Baikonur Cosmodrome itu kerana selain menempatkan kemudahan angkasa lepasnya itu, ia turut menempatkan pusat ujian peluru-peluru berpandu ICBM (Inter Continental Ballistic Missile).
Ia adalah “kawasan hitam” bagi pihak tentera USSR, sama seperti “Area 51” untuk Amerika Syarikat.
Malah sepanjang tempoh berlakunya Perang Dingin di antara Kesatuan Soviet dan Blok Barat diketuai oleh Amerika Syarikat, tiada peta dunia yang dapat menunjukkan kedudukan pusat ujian Tyuratam di padang pasir di Kazakhstan,yang dikenali dengan nama Baikonur Cosmodrome.
Pihak tentera Amerika Syarikat diketahui kerap menghantar pesawat pengintip altitude tinggi “U-2” untuk “skodeng” dan mencari kedudukan sebenar Baikonur Cosmodrome/Tyuratam Missile Range itu yang terletak di selatan Kazakhstan (ketika itu dibawah USSR), di sebuah kawasan padang pasir dan tandus kira-kira 200km timur Laut Aral dan utara Sungai Arya.
Baikonur (Tyuratam) adalah kawasan yang rata dan memang sesuai untuk pelancaran roket dan aktiviti angkasa lepas.
Daripada Baikonur Cosmodrome, selain roket Soyuz melancarkan satelit-satelit sama ada untuk kegunaan tentera atau awam ke angkasa lepas, USSR turut melakukan ujian pelancaran peluru-peluru berpandu ICBM miliknya khusunya yang menggunakan liquid propellant.
Ia bukan sahaja merupakan pusat ujian peluru berpandu ICBM, tetapi di Baikonur Cosmodrome (Tyuratam) itu juga dikatakan menempatkan puluhan atau ratusan silo-silo bawah tanah peluru berpandu ICBM yang sentiasa mensasarkan bandar-bandar utama di Eropah atau Amerika Syarikat.
Selepas kejatuhan USSR, Russia telah menyewa Baikonur Cosmodrome itu daripada kerajaan Kazakhstan sehingga tahun 2050 dengan agensi angkasa lepas negara itu, Roscosmos State Corporation dan Russian Aerospace Force sebagai pengurus kawasan itu.
Untuk pergi ke Baikonur, admin terpaksa mengambil penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Istanbul sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota Russia iaitu Moscow.
Selepas berehat beberapa hari di Moscow dan “jalan-jalan” di Pasar Chechen, selain menyelesaikan segala dokumentasi dengan pihak Roscosmos serta Kementerian Luar serta Kementerian Pertahanan Russia, barulah admin dibenarkan mengambil penerbangan menggunakan syarikat penerbangan tempatan ke Baikonur.
“Security clearance dah beres, esok kita fly,” menurut rakan admin.
Pesawat Tupolev membawa admin ke Baikonur mengambil masa selama lebih tiga jam untuk sampai ke destinasi.
Apa yang menariknya adalah, pesawat komersial itu diterbangkan oleh bekas juruterbang pesawat pejuang Sukhoi dan penumpang sememangya dapat merasakan perbezaannya apabila pesawat komersial diterbangkan oleh bekas juruterbang pesawat pejuang.
Cara juruterbang di membawa pesawat komersial itu memang agak “kasar”, sesuai dengan latihannya yang diterimanya sebelum ini.
Admin tiba di Lapangan Terbang Baikonur yang berkongsi dengan pangkalan udara tentera Russia/Kazakhs dalam keadaan cuaca yang panas tetapi tidak terik sebagaimana yang dijangkakan apabila berada di padang pasir dan kawasan tandus.
Di Baikonur,keadaan siang hari adalah panas tetapi suhu pada waktu malam memang amat sejuk mengigil.
Lapangan Terbang Baikonur amat kecil kerana kebanyakannya ia hanya digunakan oleh kakitangan Roscosmos serta penduduk tempatan yang berkemampuan.
Daripada lapangan terbang itu, admin terpaksa menempuh perjalanan lebih dua jam menaiki van ke Hotel Sputnik yang merupakan satu-satunya hotel yang selesa untuk diduduki di Baikonur Cosmodrome.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Roscosmos kini banyak menjalankan kerjasama dengan Agensi Angkasa Lepas Eropah (European Space Agency –ESA) dan Hotel Sputnik itu banyak diduduki oleh saintis dan pakar-pakar angkasa lepas Eropah yang terlibat dalam projek kerjasama dengan Russia.
Selain tinggal di Hotel Sputnik, admin juga dibenarkan untuk menginap di hotel/rumah persinggahan yang sebelum ini hanya dikhaskan kepada angkasawan-angkasawan USSR/Russia yang akan berlepas ke angkasa lepas.
Yuri Gagarin yang tugunya berada di mana-mana penjuru di Baikonur itu pun dikatakan menginap di hotel/rumah persinggahan itu sebelum beliau dan kapsulnya dipanggil “Vostok 1” menjadi manusia pertama pergi ke angkasa lepas pada April 1961.
Hero USSR itu telah menewaskan Amerika Syarikat dalam perlumbaan angkasa lepas dengan seteru mereka.
Selama “bertugas” di Baikonur itu, admin berpeluang melihat pelancaran peluru berpandu ICBM SS-18 “Satan” yang telah diubahsuai untuk membawa satelit pengintip milik tentera Russia.
Peluru berpandu SS-18 ini adalah silo-based peluru berpandu ICBM (heavy ICBM) yang dilengkapkan dengan beberapa kepala peledak nuklear.
Dibangunkan ketika kemuncak Perang Dingin antara USSR dan Barat, ia sepatutnya digunakan untuk membedil sasaran sejauh diantara 10,000km hingga 11,000km. (nasib baik ia tidak pernah digunakan, kalau tidak ….)
Ia adalah pengalaman yang unik melihat pelancaran peluru berpandu ICBM (telah diubahsuai).
Bunyi roket yang dijana “liquid propellant” peluru berpandu ICBM itu ketika ia meluncur laju ke angkasa lepas itu adalah amat menggerunkan, dengan kita sendiri dapat merasakan tanah di sekeliling kita bergegar akibat bunyinya dan vibration yang kuat itu.
Hanya apabila roket itu sudah berada di altitude yang lebih tinggi, “gegaran” itu semakin berkurangan dan lama-kelamaaan ia hilang. Pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan.
Selama di Baikonur, admin juga dapat menyaksikan beberapa pelancaran roket Soyuz, untuk manned-mission dan satelit-satelit.
Oklah,dah agak panjang coretan admin hari ini. Nanti kita sambung lagi. — DSA