Poseidon Bawa “Harpoon” Ronda Laut China Selatan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada akhir bulan lepas, sebuah pesawat peronda maritim (MPA) P-8A “Poseidon” Tentera Amerika Syarikat dikesan membawa peluru berpandu anti-kapal “AGM-84 Harpoon” ketika meronda di perairan selatan Taiwan dan Laut China Selatan.
Tindakan pesawat peronda maritim itu membawa peluru berpandu anti kapal ketika meronda, menunjukkan ketegangan yang semakin memuncak di antara Washington dan Beijing berkenaan isu Laut China Selatan dan Lautan Pasifik.
Ia seolah-olah menunjukkan pesawat Amerika Syarikat itu mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan segala kemungkinan di Pasifik terutamanya apabila berdepan dengan tentera China.

Pesawat Poseidon itu dikesan berlepas daripada Pengkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun menuju ke selatan Taiwan
Walaupun begitu, Poseidon bukanlah asing bagi misi-misi di Laut China Selatan kerana ia pernah melakukan operasi begitu hampir dengan Pulau Hainan, yang menempatkan markas tentera laut China paling utama di Yulin.
Kerapkali, ia akan ditemani dengan sebuah lagi pesawat MPA iaitu P-3C Orion.
Pada ketika ini pesawat MPA P-8A Poseidon diketahui mampu dilengkapi dengan peluru berpandu “Harpoon” dan torpedo MK-54 sebagai persenjataan utama.
Bagaimanapun, terdapat perancangan masa depan untuk melengkapkannya dengan Long-Range Anti Ship Missile (LRASM).

Mengenai destinasi utama pesawat MPA Amerika Syarikat itu selepas berlepas daripada Pengkalan Udara Kadena, penganalisis berkata, ia dipercayai menuju ke Selat Bashi di selatan Taiwan.
Selat Bashi yang terletak di selatan Taiwan, diketahui adalah laluan perdagangan komersial dan kapal-kapal tentera laut yang amat penting, selain menjadi penghubung antara Laut China Selatan dan Laut Filipina.

Comments are closed.