Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan Keselamatan Di Sabah Diminta Berhati-Hati Terhadap Kemungkinan “Tindak Balas”

Nasihat itu diberikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazali Ghazali hari ini.

0 1,904

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan keselamatan negara diminta berhati-hati terhadap kemungkinan terhadap sebarang tindakan “tindak balas” daripada kumpulan pengganas Abu Sayyaf selepas lima anggotanya termasuk seorang “sub-leadernya” ditembak mati oleh polis di Beaufort, Sabah.

Nasihat itu diberikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazali Ghazali hari ini.

“Kita percaya terdapat kemungkinan akan ada tindak balas terhadap pasukan keselamatan apabila mereka mendapat tahu bahawa salah seorang ketua mereka dan anggota mereka telah ditembak mati.”

“Kita akan sentiasa berjaga-jaga dan meminta orang ramai tidak berasa bimbang dan memberitahu pihak polis jika mereka mengesyaki sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah itu mengesyaki masih ada saki-baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daesh yang bersembunyi di Malaysia, khususnya di Sabah.

Abu Sayyaf
Mabar Binda, salah seorang anggota Abu Sayyaf yang ditembak mati oleh Polis. Beliau dikatakan “sub-leader” Abu Sayyaf.

 

Terdahulu dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini, beliau mengumumkan bahawa lima anggota kumpulan pengganas yang berpengkalan di selatan Filipina telah ditembak mati dalam operasi khas, di sebuah kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada pukul 11.27 pagi semalam.

Salah seorang daripada lima yang ditembak mati oleh polis itu adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas tersebut dikenali sebagai Mabar Binda, yang turut berada di dalam senarai dikehendaki oleh kerajaan Filipina.

Tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya, dan semuanya dianggarkan berusia antara 20an hingga 40an.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh.

“Polis juga mengesyaki masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” kata Hazani.de

Abu Sayyaf

Pada 8 Mei lepas, pasukan keselamatan berjaya menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf termasuk dua yang dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina, dalam operasi pukul 3 pagi di kawasan paya bakau Taman Sri Arjuna, Beaufort yang mana polis turut menahan 29 lagi individu warga Filipina.

Sejak 2014 hingga tahun lepas, seramai 83 individu yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh, berjaya ditahan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...