Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Polis Buru “Komander” Kumpulan Pengganas LTTE

0 831

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai komander kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) selepas beliau didakwa membuat ugutan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Suspek terbabit juga didakwa mengancam untuk menyerang Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan.

LTTE

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis sedang mengesan suspek berkenaan selepas beliau didapati menghantar ugutan itu menerusi emel kepada pihak media.

Polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. “Suspek berkenaan merupakan individu yang sama dilaporkan pernah membuat kenyaatan menghina Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri ‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam sidang media khas.

POLIS

Semalam, beberapa media melaporkan telah menerima email berhubung ugutan jenayah yang ditujukan kepada Abdul Hamid. 

Menerusi email berkenaan, individu terbabit merancang menyerang Sri Lanka.

 Abdul Hamid ketika dihubungi oleh akhbar Harian Metro semalam berkata beliau mengambil maklum tentang dakwaan individu terbabit.

HAMID BADOR
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. (foto internet)

“Kita masih mengesan individu yang mendakwa dirinya ketua komander LTTE 2.0 dan melakukan ugutan itu.

“Kita akan menyiasat namun saya yakin individu ini sudah pernah dikesan sebelum ini,” katanya.

LTTE
Anggota LTTE. (foto internet)

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...