Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Sistem EW “Murmansk-BN” Mampu Lumpuhkan Komunikasi, Radio Seluruh Eropah

Antara sistem peperangan elektronik terbaru milik Russia dipanggil “Murmansk-BN” dan dikatakan ia adalah sistem EW paling berkuasa di dalam angkatan tentera negara itu.

0 1,532

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia sebenarnya memiliki pelbagai jenis sistem persenjataan yang kurang dikenali oleh dunia luar dan salah satu daripada sistem masih cuba difahami dengan lebih mendalam oleh penganalisis pertahanan Barat melibatkan sistem peperangan elektroniknya (Electronic Warfare).

Antara sistem peperangan elektronik terbaru milik Russia dipanggil “Murmansk-BN” dan dikatakan ia adalah sistem EW paling berkuasa di dalam angkatan tentera negara itu.

Selain Murmansk-BN, antara sistem-sistem peperangan elektronik Russia yang lain adalah “Krasukha” dan “Divnomorye” yang digunakan untuk menganggu komunikasi satelit, signal GPS dan komunikasi pesawat tanpa pemandu.

Tetapi mengapa, sistem “Murmansk-BN” ini dikatakan sistem peperangan elektronik paling berkuasa tentera Russia?

Jawapannya mungkin berkaitan dengan kemampuan sistem itu untuk menganggu dan memintas signal-signal radio, Global Positioning System (GPS), komunikasi, satelit dan sistem elektronik musuh lain sehingga 5,000km jauhnya.

Tujuan utama sistem ini adalah untuk menganggu dan memusnahkan sistem komunikasi satelit berfrekuensi tinggi milik NATO dan Amerika Syarikat.

Selain itu, ia boleh juga membuatkan senjata-senjata “pintar” (smart munition) dan sistem-sistem pesawat tanpa pemandu “menjadi buta dan pekak.”

Terdapat penganalisis pertahanan mengatakan jarak operasi sistem Murmansk-BN bukan 5,000km tetapi jarak maksimum operasinya adalah sehingga 8,000km….

Sistem peperangan elektronik Russia ini bukan sahaja berfungsi untuk “jamming” signal radio dan komunikasi musuh, tetapi ia juga digunakan untuk mengintip kemampuan radio pihak lawan.

Tahun lepas, Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan bahawa ia telah memindahkan sistem EW “Murmansk-BN” ke pengkalan tenteranya di Artik berhampiran dengan sempadan Finland, sebagaimana yang dilaporkan oleh portal pertahanan, Defense Blog.

Murmansk-BN

Moscow bagaimanapun tidak menyatakan sebab-musabab disebalik pemindahan sistem peperangan elektronik itu ke pengkalannya di Artik, berhampiran Finland, tetapi ramai meramalkan ia berkaitan dengan ketegangan di dalam hubungan ketenteraan di antara Moscow dengan negara-negara anggota NATO.

Dari pengkalannya di Artik berhampiran dengan Finland itu, sistem EW Murmansk-BN itu boleh melumpuhkan sistem radio dan komunikasi di seluruh Eropah dan inilah yang dibimbangi oleh NATO dan Amerika Syarikat.

Nama “Murmansk” itu sebenarnya nama sempena sebuah bandar di Russia.

Moscow pernah menjalankan ujian terhadap sistem ini pada 2019 dan Norway yang terletak berhampiran telah mengesan gangguan terhadap sistem radio-nya yang berkemungkinan besar adalah akibat frekuensi sistem EW Murmansk-BN itu.

Norway pernah mengemukakan bantahan terhadap Russia kerana gangguan terhadap sistem radio dan komunikasi di negara itu akibat ujian sistem peperangan elektronik milik negara Komunis itu.

Murmansk-BN

Negara Scandinavia itu bimbang jika sistem komunikasi dan radio negara itu lumpuh, ia boleh mengancam keselamatan negara itu.

Bayangkan, pesawat tanpa sistem radio, elektronik dan satelit tidak membenarkan mereka berhubung dengan ground station dan lain-lain. Dalam lain perkataan, aset-aset yang pintar bolehlah diibaratkan seperti “buta, bisu dan pekak.”

Jika dioperasikan pada kemampuan maksimum, sistem EW Murmansk-BN boleh melumpuhkan sistem radio dan komunikasi di seluruh benua Eropah serta sebahagian daripada Amerika Syarikat, sekaligus melumpuhkan sebahagian besar aset dan senjata pintar yang dimiliki mereka.

Russia juga dikatakan mengerahkan sistem Murmansk-BN ke wilayah Crimea berhampiran Laut Hitam baru-baru ini.

Kapal-kapal perang dan pesawat pengintip NATO mengadu bahawa sistem GPS, radio serta komunikasi mereka gagal berfungsi ketika menghampiri perairan milik Russia di Laut Hitam itu.

Murmansk-BN

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...