Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika, Britain Arahkan Rakyat Masing-Masing Tinggalkan Afghanistan “Dengan Segera”

Ia mungkin satu petanda bahawa kejatuhan kerajaan awam Afghanistan yang dibina oleh Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa itu sudah tidak dapat dielakkan lagi dan mungkin akan berlaku tidak lama lagi.

0 1,544

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul, ibu negara Afghanistan dan Pejabat Hal Ehwal Luar Britain telah mengeluarkan arahan kepada rakyat masing-masing supaya meninggalkan negara bergolak itu seberapa segera yang boleh berikutan keadaan keselamatan yang semakin genting berikutan kemaraan militan Taliban di setiap penjuru negara itu.

Ia mungkin satu petanda bahawa kejatuhan kerajaan awam Afghanistan yang dibina oleh Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa itu sudah tidak dapat dielakkan lagi dan mungkin akan berlaku tidak lama lagi.

Pada ketika ini pun, sebahagian besar daripada Afghanistan pun sudah ditakluk semula oleh militan Taliban.

Dalam satu kenyataan beberapa jam yang lepas, kedutaan Amerika Syarikat di Kabul itu meminta rakyat negara itu meninggalkan Afghanistan seberapa segera menggunakan apa sahaja penerbangan sedia ada.

Mana-mana rakyat negara itu tidak mempunyai wang yang mencukupi, pihak kedutaan bersedia memberikan pinjaman dipanggil “repatriation loan”  bagi membolehkan mereka membeli tiket kapalterbang untuk mereka pulang.

Afghan

Ramai pemerhati antarabangsa meramalkan akan berlaku banyak insiden “pembunuhan beramai-ramai” kerana Taliban dijangka akan membalas-dendam terhadap anggota tentera Afghanistan dan pegawai-pegawai kanannya yang kalah itu.

Beberapa hari lepas, militant Taliban meletupkan bom kereta ketika menceroboh kediaman rasmi Menteri Pertahanan negara itu di Kabul manakala bekas jurucakap Presiden Afghanistan Ashraf Ghani juga dibunuh.

Hari ini, Zaranj yang merupakan ibu negeri kepada wilayah Nimroz telah berjaya ditawan oleh Taliban, menjadikannya sebagai ibu negeri wilayah Afghanistan yang pertama jatuh ke tangan kumpulan militan itu.

Afghan
Komando Afghanistan

 

Taliban juga berjaya menawankan bandar Sheberghan yang merupakan kubu kuat kepada panglima utara Jeneral Abdul Rashid Dostum.

Selain itu, pertempuran sengit juga dilaporkan sedang berlaku di Herat, Kandahar serta Lashkar-Gah.

Kemaraan Taliban selepas tentera Amerika dan antarabangsa meninggalkan Afghanistan bulan lepas, berlaku dengan begitu pantas di seluruh negara itu, menakluki ratusan daerah dan bandar-bandar penting.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...