Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang “Rafale” Amat Laris Di Pasaran Pada Ketika Ini

Secara keseluruhannya, Dassault Aviation sehingga kini telah menerima pesanan untuk sebanyak 236 Rafale dengan pesanan terbanyak diterima oleh UAE dengan 80 buat pesawat.

0 12,719

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, tidak dapat dinafikan bahawa pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation memang amat laris di pasaran, dengan satu demi satu negara mengambil keputusan untuk membelinya.

Terbaru, adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE) memutuskan untuk membelanjakan US$19 bilion (RM76 bilion) untuk mendapatkan sejumlah 80 buah pesawat pejuang Rafale ketika lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron ke negara Teluk itu hari ini.

Pesawat-pesawat pejuang Rafale itu akan mula dihantar ke UAE bermula pada tahun 2027, bertujuan menggantikan puluhan pesawat pejuang Mirage 2000 yang digunakan oleh tentera udara negara itu.

Selain pesawat-pesawat pejuang Rafale itu, UAE turut bersetuju untuk membeli 12 buah helikopter Caracal daripada syarikat Airbus.

Persetujuan UAE untuk membeli 80 buah pesawat pejuang Rafale itu dimeterai selepas usaha negara Teluk itu untuk mendapatkan pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat berhadapan dengan masalah akibat sikap Presiden Jo Biden.

Rafale

Biden mengambil keputusan untuk mengkaji semula penjualan pesawat F-35 kepada UAE berikutan pembabitan negara itu dalam konflik di Yaman.

Selain itu, Amerika Syarikat juga tidak senang dengan tindakan UAE menggunakan teknologi 5G yang dibangunkan oleh syarikat Huawei daripada China.

Usaha-usaha memasarkan pesawat pejuang Rafale kepada pelanggan bermula agak perlahan selepas ia memasuki perkhidmatan tentera Perancis pada 2004.

Bagaimanapun “nasib malang” yang menimpa pesawat Rafale itu mula berubah pada tahun 2015 selepas Mesir dan Qatar membeli pesawat itu untuk kegunaan tentera udaranya.

Pada tahun 2015 itu, Qatar membeli 36 buah pesawat Rafale manakala Mesir sebanyak 24 buah pesawat pejuang itu sebelum menambah pembelian 30 lagi buah pesawat pejuang itu pada tahun lepas.

Selepas Mesir dan Qatar, negara-negara lain yang turut mengambil keputusan untuk mendapatkan pesawat pejuang Rafale adalah Greek, Croatia dan India.

Secara keseluruhannya, Dassault Aviation sehingga kini telah menerima pesanan untuk sebanyak 236 Rafale dengan pesanan terbanyak diterima oleh UAE dengan 80 buat pesawat.

 

Rafale

Malah negara jiran kita, Indonesia turut menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya.

Jakarta dikatakan telah menandatangani perjanjian awal untuk mendapatkan sebanyak 36 buah pesawat Rafale.

Selama beberapa tahun, Dassault Aviation berusaha untuk menjual pesawat Rafale kepada Malaysia tetapi tidak berjaya.

Dalam setiap edisi pameran LIMA di Langkawi, pesawat Rafale tidak pernah gagal untuk menghadirkan dirinya di pulau peranginan itu dalam usahanya untuk memikat hati Malaysia untuk membeli pesawat pejuang itu.

Bagaimanapun, apabila petanda-petanda bahawa Malaysia tidak berminat untuk membeli pesawat Rafale, maka Dassault Aviation pun seperti sudah tidak kelihatan di Malaysia.

Rafale

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...