Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Omnirole Rafale Dapat Pelanggan Baru, Serbia

Pesawat pejuang Rafale bakal menambah satu lagi pelanggan apabila Perancis dan syarikat aeroangkasa negara itu, Dassault Aviation semakin hampir untuk mencapai perjanjian dengan Serbia bagi menjual di antara 10 hingga 12 buah pesawat pejuang omnirole itu yang dianggarkan bernilai US$3.4 billion (RM14.62 billion).

0 2,029

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang Rafale bakal menambah satu lagi pelanggan apabila Perancis dan syarikat aeroangkasa negara itu, Dassault Aviation semakin hampir untuk mencapai perjanjian dengan Serbia bagi menjual di antara 10 hingga 12 buah pesawat pejuang omnirole itu yang dianggarkan bernilai US$3.4 billion (RM14.62 billion).

Perjanjian di antara kedua-dua negara berkenaan penjualan pesawat pejuang Rafale itu dijangka dimeterai apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron melawat Serbia Khamis ini.

Macron dan Presiden Serbia Aleksandar Vucic dijangka akan menandatangani perjanjian itu semasa lawatan Presiden Serbia ke Belgrade Khamis ini, di mana kedua-dua negara itu turut dijangka memeterai persefahaman melipti bidang-bidang ekonomi, tenaga dan pertahanan.

Sejak beberapa tahun lepas, Serbia telah meningkatkan pembelian aset-aset pertahanan termasuk sistem pertahanan udara “Pantsir” dan sistem pertahanan udara buatan China.

Walaupun Presiden Serbia itu mengecam pencerobohan Russia terhadap Ukraine tetapi beliau tidak menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara lain dalam mengenakan sekatan ekonomi terhadap Moscow atau memutuskan hubungan dengan Russia.

Damocles

Serbia juga meningkatkan kerjasama dengan China termasuk membeli sistem-sistem pertahanannya.

Beberapa bulan lalu, Dassault Aviation menyatakan bahawa ia akan meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan pada 2024 daripada dua buah pesawat sebulan berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Perancis, Le Tribune, ketua pegawai eksekutif Dassault Aviation  Eric Trappier berkata, syarikatnya berkeupayaan untuk menghasilkan empat buah pesawat pejuang Rafale untuk menampung peningkatan permintaan.

“Kita sedang menuju kepada tahap kurang daripada sebuah (pesawat) pada tahun 2020, di mana ianya pada keadaan kritikal kepada  tiga (buah pesawat). Pada ketika ini kita berada pada tahap dua (buah pesawat).”

Untuk tahun ini sahaja, syarikat Dassult Aviation telah pun memperolehi pesanan sebanyak 18 buah pesawat Rafale, 60 pesanan pada 2023 dan 92 pesanan pada 2022.

Selain peningkatan pesanan daripada negara-negara luar, syarikat Dassault Aviation juga berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada Tentera Udara Perancis itu sendiri yang membeli lebih banyak pesawat pejuang Rafale.

rafale
“Rafale”

 

Pada awal Januari lalu, Perancis mengesahkan ia akan membelanjakan sejumlah US$5.5 bilion (RM24.75 bilion) untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale.

Penambahan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis itu selepas wakil-wakil rakyat negara itu dilapor melahirkan kebimbangan dengan perjalanan program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam dipanggil “Future Combat Air System” (FCAS) oleh konsortium Perancis-Jerman untuk menggantikan pesawat pejuang Rafale itu.

Berikutan daripada “kebimbangan” tentang FCAS itu, agensi perolehan pertahanan Perancis telah memaklumkan kepada syarikat Dassault Aviation dan syarikat-syarikat pembuat komponen lain seperti Safran, Thales dan MBDA tentang pesanan terbaru bagi 42 buah pesawat pejuang Rafale itu.

Kesemua 42 buah pesawat pejuang Rafale yang baru dipesan oleh Tentera Udara Perancis itu merupakan varian F4 tetapi akan dinaiktaraf kepada varian F5 atau “Super Rafale” dengan beberapa kemampuan generasi ke-6 apabila memasuki tahun-tahun 2030-an.

Pesawat pejuang Rafale mula memasuki perkhimatan Tentera Udara Perancis dan Tentera Laut Perancis pada 2004-2006 dan telah dikerah ke Afghanistan, Libya, Mali, Iraq dan Syria.

Pesanan terbaru daripada kerajaan Perancis untuk 42 buah pesawat pejuang Rafale telah menjadikan keseluruhan pesanan terhadap pesawat pejuang itu daripada Tentera Udara Perancis pada masa ini adalah sebanyak 234 buah.

Ini termasuk pesanan untuk 12 buah Rafale pada 2021 bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Perancis yang dipindahkan kepada Greek.

Rafale

Selain pesanan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis, syarikat Dassault Aviation turut menerima pesanan untuk 261 buah pesawat Rafale untuk beberapa buah negara termasuk Indonesia, India, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pesawat pejuang Rafale kini diibaratkan seperti “goreng pisang” panas di rantau Teluk pada ketika ini, dengan satu demi satu negara cuba memilikinya.
Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan untuk memperolehi 54 buah pesawat pejuang Rafale itu, walaupun media Perancis mendakwa negara pengeluar minyak kedua terbesar dunia itu mahu membeli 100 buah pesawat pejuang buatan Perancis itu.

Minat mendalam Arab Saudi terhadap pesawat pejuang Rafale ketika ini menyusuli laporan sebuah lagi negara Teluk yang kaya-raya, Qatar sedang berbincang dengan syarikat aeroangkasa Perancis,  Dassault Aviation untuk menaiktaraf 36 buah pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini dan paling berkemampuan iaitu “F4”.

Bukan sahaja Qatar mahu menaiktaraf pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini, tetapi ia juga sedang berbincang dengan Dassault Aviation untuk memperolehi 24 buah pesawat Rafale tambahan pada tahun depan atau 2025.

Perancis juga berharap Mesir akan menambah pesawat pejuang Rafale yang dimiliki kini berikutan keputusannya untuk membatalkan pembelian pesawat pejuang Su-35 daripada Russia.

Pada ketika ini Mesir sudah pun memiliki 54 buah pesawat pejuang Rafale. — DSA

 

Comments
Loading...