Pesawat Pejuang JAS39 Gripen Thailand Berlepas, Mendarat Guna Lebuhraya Pendek di Songkla
Perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang Gripen milik RTAF menggunakan lebuhraya itu merupakan sebahagian daripada ujian yang dilakukan untuk menilai pesawat pejuang pilihan tentera udara negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang JAS39 Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) telah berjaya “melepasi ujian” selepas melaksanakan perlepasan dan pendaratan daripada sebuah lebuhraya di Wilayah Songkla yang terletak di selatan negara itu pada Rabu.
Penduduk di wilayah selatan Thailand itu berkumpul di tepi lebuhraya di bawah kawalan ketat pihak berkuasa untuk melihat pesawat-pesawat pejuang buatan Sweden milik negara itu berlepas dan mendarat daripada lebuhraya terbabit.
Perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang Gripen milik RTAF menggunakan lebuhraya itu merupakan sebahagian daripada ujian yang dilakukan untuk menilai pesawat pejuang pilihan tentera udara negara itu.
Kementerian Pertahanan Thailand telah pun mengumumkan bahawa ia bakal memperolehi pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Saab Group daripada Sweden.
Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan perolehan pesawat pejuang Gripen itu secara rasmi, Thailand akan melaksanakan satu ujian terakhir terhadap pesawat pejuang buatan Sweden itu.
Ujian itu melibatkan kemampuan pesawat pejuang pejuang Gripen E/F itu berlepas dan mendarat daripada lebuhraya dan ia merupakan ujian pertama dilakukan oleh (RTAF), menurut sumber kepada media Thailand pada bulan lepas.
Ujian itu mengkehendaki pesawat pejuang Gripen berlepas dan mendarat daripada atas lebuhraya sepanjang 800 meter.
“Ujian itu diadakan bertujuan mengesahkan dakwaan oleh syarikat Saab Group yang membangunkan pesawat pejuang Gripen (bahawa) pesawat pejuang Gripen itu berkemampuan berlepas dan mendarat daripada lebuhraya),” menurut media Thailand.
Menurut sumber yang memberitahu media Thailand, syarikat Saab yang membangunkan pesawat pejuang Gripen itu mendakwa pesawat pejuang itu berkemampuan berlepas dan mendarat di atas lebuhraya sepanjang 800 meter sekiranya pangkalan udara mereka musnah dibedil.
Tentera Udara Sweden dilaporkan telah menguji kemampuan pesawat pejuang Gripen itu, yang berjaya berlepas dan mendarat menggunakan lebuhraya yang hanya sepanjang di antara 400 meter hingga 500 meter sahaja.
Bagaimanapun Tentera Udara Diraja Thailand mahu mengesahkan kemampuan pesawat pejuang Gripen itu secara langsung.
Membuktikan kemampuan pesawat pejuang Gripen itu untuk berlepas dan mendarat daripada lebuhraya bakal mengesahkan secara rasmi keputusan Tentera Udara Diraja Thailand tentang keputusan untuk memilih Gripen dan bukan F-16 Block 70 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
