Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pesawat Pejuang J-35A China “Diilhamkan” Dari F-35 Amerika – Pegawai Tertinggi USAF

(VIDEO) Pegawai tertinggi Tentera Udara Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima terbaharu China itu mempunyai satu ciri yang menonjol iaitu -- reka bentuknya kelihatan bahawa ia telah "diilhamkan" daripada pesawat generasi kelima keluaran Amerika Syarikat, F-35.

4,650
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Staf Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) Jeneral David W.Allvin telah memberikan komennya yang pertama terhadap pesawat pejuang generasi kelima kedua keluaran China, J-35A yang membuat kemunculan julung-julung kalinya pada Airshow China 2024 di Zhuhai baru-baru ini.
Pegawai tertinggi Tentera Udara Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima terbaharu China itu mempunyai satu ciri yang menonjol iaitu — reka bentuknya kelihatan bahawa ia telah “diilhamkan” daripada pesawat generasi kelima keluaran Amerika Syarikat, F-35.
“Ia masih agak baharu,” kata orang nombor satu Tentera Udara Amerika Syarikat itu dalam satu temu bual bersama majalah Air & Space Forces pada 19 November.
“Tetapi, ya, ia agak jelas; anda boleh meletakkannya (J-35A) bersebelahan (dengan F-35) dan melihat, sekurang-kurangnya, dari mana kami percaya mereka (China) mendapat blueprint, jika boleh dikatakan begitu.” kata panglima Tentera Udara Amerika Syarikat itu dengan jujur.
Pesawat pejuang J-35A milik China baru-baru ini dipertontonkan kepada umum buat pertama kalinya di Airshow China 2024 di Zhuhai.
Seperti yang dinyatakan oleh Allvin, pesawat pejuang J-35A itu kelihatan “amat mirip” dengan pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat, namun ia dilengkapi dengan dua enjin berbanding satu enjin yang digunakan oleh pesawat pejuang F-35 buatan syarikat Lockheed Martin.
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
China sebagaimana didakwa oleh banyak pihak sebelum ini mempunyai sejarah yang panjang dalam meniru reka bentuk pesawat kombat Amerika Syarikat, namun itu tidak bermaksud pesawat pejuang  mereka adalah setanding dengan kemampuan pesawat-pesawat pejuang Amerika dalam aspek teknikal.
Dakwaan tentang “penglibatan” China dalam kecurian maklumat berkaitan pesawat pejuang F-35 buatan Lockheed Martin itu timbul selepas Edward Snowden, bekas kontraktor Agensi Keselamatan Nasional (NSA) Amerika Syarikat, mendedahkan dokumen sulit kepada sebuah penerbitan di Jerman pada tahun 2015.
Dokumen tersebut didakwa mendedahkan bahawa hackers-hackers China telah berjaya mendapatkan akses kepada data rahsia mengenai pesawat pejuang F-35.
Beberapa hackers China juga didakwa terlibat dalam pelanggaran data di syarikat subkontraktor utama, Lockheed Martin, pada tahun 2007.
Beijing menafikan segala dakwaan tentang “kecurian maklumat” pesawat pejuang F-35  dan menuduh Washington sebagai pihak yang mencetuskan ketegangan.
Pada Airshow China 2024 di Zhuhai itu, China telah mendedahkan gambar rasmi pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima miliknya yang kedua, Shenyang J-35A yang dibangunkannya sejak sekian lama tetapi hanya kelihatan menerusi gambar-gambar tidak rasmi sebelum ini.

 

Gambar rasmi pertama J-35A itu memberi peluang kepada pemerhati untuk melihat aset udara yang bakal menambah kekuatan udara dan ketenteraan China secara keseluruhannya.
Pembangunan pesawat pejuang generasi kelima kedua China itu dilihat sebagai usaha Beijing untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam domain pembangunan pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima, selain usahanya untuk memodenkan angkatan tenteranya.
Pesawat pejuang J-35A itu direkabentuk untuk melaksanakan operasi kombat udara dan juga operasi udara-ke-darat, menurut media pertahanan di China.
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.”
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 “Raptor.”
Gambar rasmi pertama pesawat pejuang J-35A itu telah mendedahkan beberapa perincian terkini pesawat pejuang itu yang sebelum ini tidak kelihatan.
J-35A
J-35A
Banyak yang telah diperkatakan tentang persamaan di antara pesawat pejuang J-35A/FC-31 dengan pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.
Persamaan rekabentuk diantara J-35A itu dengan F-35 itu telah menimbulkan dakwaan bahawa China telah meniru pesawat pejuang Amerika Syarikat itu menerusi aktiviti perisikan industri (industrial espionage) ketika pesawat pejuang itu berada di fasa pembangunan.
Daripada gambar rasmi pertama pesawat pejuang halimunan kedua China itu, apa yang dapat dilihat daripada pesawat pejuang J-35A itu adalah ia dilengkapi dengan Electro-Optical Targeting System sebagaimana yang turut didapati pada pesawat pejuang F-35.
Selain itu, kelihatan pesawat pejuang J-35A itu turut dilengkapi dengan Radar Reflective Luneburg Lens dibawah fiuslaj-nya.
China juga dilaporkan telah mengesahkan designasi J-35A sebagai varian daratan untuk pesawat pejuang itu manakala varian yang bakal beroperasi di kapal pengangkut pesawat itu adalah J-35 dan varian eksport pula adalah FC-31.
F-35
F-35
Menurut penganalisis tentera Wang Mingzhi, pesawat pejuang halimunan J-20 “Mighty Dragon” dikategorikan sebagai pesawat pejuang berat (heavy duty) manakala J-35A pula dikategorikan sebagai pesawat pejuang halimunan sederhana (medium).
Ketua Pakar di Shenyang Aircraft Design and Research Institute of the Aviation Industry Corporation of China (AVIC) pula mengesahkan bahawa pesawat pejuang J-35 itu adalah sebahagian daripada keluarga pesawat pejuang, bermakna ia akan mempunyai pelbagai varian untuk kegunaan Tentera Udara dan Tentera Laut China.  — DSA

Comments are closed.