Pesawat Pejuang J-10C China Papar “Kill Marks” Enam Aset Udara India Ditembak Jatuh J-10C Pakistan
“Kill Marks” yang tertera di pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China itu terdiri dairpada tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan sebuah dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) Heron keluaran syarikat Israel Aerospace Industries (IAI).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mungkin sebagai suatu langkah solidariti dengan J-10C milik Tentera Udara Pakistan, sebuah pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara China (PLAAF) dilihat turut menampilkan “kill marks” pesawat-pesawat pejuang dan dron Tentera Udara India yang didakwa ditembak jatuhnya olehnya pada konflik Pakistan-India baru-baru ini.
Ia adalah langkah solidariti yang ditonjolkan oleh Tentera Udara China dengan apa yang dilalui oleh rakan-rakan mereka di Tentera Udara Pakistan, kedua-duanya adalah pengguna pesawat generasi 4.5 keluaran Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG).
“Kill Marks” yang tertera di pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China itu terdiri dairpada tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan sebuah dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) Heron keluaran syarikat Israel Aerospace Industries (IAI).
“Kill marks” pada pesawat pejuang merujuk kepada tanda atau simbol yang dicat pada badan pesawat, biasanya berhampiran kokpit, untuk menunjukkan bilangan musuh yang telah ditembak jatuh atau dimusnahkan oleh pesawat tersebut semasa operasi tempur.
Fungsi utama “kill marks” adalah sebagai pengiktirafan kepada kejayaan tempur, baik oleh juruterbang atau sistem senjata pesawat tersebut.
Tradisi “kill marks” ini berasal sejak era Perang Dunia Kedua, dan masih diamalkan oleh banyak tentera udara hari ini
Kesemua “kill marks” yang tertera pada badan pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara China itu merujuk kepada lima buah pesawat pejuang dan sebuah dron milik India yang berjaya ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C dioperasikan oleh Tentera Udara Pakistan pada konflik bersenjata kedua-dua negara baru-baru ini, sebelum Islamabad-New Delhi memeterai gencatan senjata.
Walaupun “kill marks” pada pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China itu mempunyai lima buah pesawat pejuang dan sebuah dron, namun Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Shariff semalam mendakwa Tentera Udara Pakistan telah berjaya menembak jatuh pesawat pejuang India yang ke-enam.
Pesawat pejuang Tentera Udara India yang keenam di dakwa ditembak jatuh oleh Pakistan itu adalah daripada jenis Mirage 2000, yang sebagaimana diperkatakan oleh Shahbaz, telah berjaya ditembak jatuh di Pampore, timur Srinagar pada malam 6/7 Mei lalu.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India enggan mengakui ia telah kehilangan lima (dan kini enam buah) pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Ketika ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya, Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Kesemua pesawat pejuang dan dron milik Tentera Udara India itu berkemungkinan besar telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 keluaran China digunakan oleh pesawat pejuang J-10C Pakistan.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 itu memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), yang merupakan sebahagian daripada Aviation Industry Corporation of China (AVIC).
Pesawat pejuang Chengdu J-10C, dikenali sebagai “Vigorous Dragon,” merupakan tulang belakang kekuatan udara Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF) China.
Sehingga awal 2025, PLAAF dipercayau memiliki lebih daripada 300 unit pesawat pejuang J-10C, menjadikannya salah satu pesawat pejuang paling banyak digunakan dalam tentera udara negara itu.
J-10C adalah pesawat tempur pelbagai peranan generasi 4.5 yang direka untuk misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.

Ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik canggih, dan enjin WS-10B buatan tempatan yang meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan.
Pesawat pejuang Chengdu J-10C milik Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAAF) ditempatkan di pelbagai pangkalan udara strategik di seluruh negara, mencerminkan peranan pentingnya dalam pertahanan udara China.
Dalam struktur strategik Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAAF), pesawat pejuang Chengdu J-10C ditempatkan di beberapa pangkalan udara utama di bawah pemerintahan yang berbeza, sejajar dengan keperluan operasi dan pertahanan udara wilayah.
Di bawah Pemerintahan Timur, pesawat pejuang J-10C dioperasikan oleh Briged Penerbangan ke-25 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Shantou Waisha di wilayah Guangdong, berperanan penting dalam mengawal ruang udara di sekitar Selat Taiwan serta pantai tenggara China, yang merupakan kawasan paling sensitif dalam konteks ketegangan serantau dengan Taiwan dan sokongan ketenteraan Amerika Syarikat di rantau itu.
Bagi Pemerintahan Selatan pula, dua briged utama mengendalikan pesawat pejuang J-10C dalam zon operasi berhampiran Laut China Selatan dan Asia Tenggara.
Briged Udara ke-124, yang berpangkalan di Pangkalan Udara Tianyang di Baise, Guangxi, ditugaskan memantau dan mempertahankan sempadan selatan serta kepentingan maritim Beijing di Laut China Selatan.

Sementara itu, Briged Udara ke-130 yang beroperasi dari Pangkalan Udara Mengzi di wilayah Yunnan mempunyai peranan strategik dalam menjaga kawasan barat daya China dan menyokong potensi operasi di rantau Asia Tenggara, termasuk kemudahan sokongan logistik dan latihan gabungan dengan negara rakan.
Pada Pemerintaha Barat pula, kehadiran pesawat pejuang J-10C dikendalikan oleh Briged Udara ke-18 yang ditempatkan di Pangkalan Udara Lintao di Dingxi, wilayah Gansu.
Kawasan tanggungjawab briged ini merangkumi kawasan barat China yang luas termasuk Tibet dan Xinjiang, yang sering menjadi tumpuan operasi kontra-keganasan serta ketegangan sempadan dengan India.
Manakala pada Pemerintahan Utara, Briged Udara ke-2 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Chifeng Yulong di Inner Mongolia bertanggungjawab mengawasi ruang udara di sempadan utara serta menyokong operasi udara di kawasan timur laut China, termasuk berhampiran sempadan dengan Russia dan Korea Utara.
Tentera Udara Pakistan telah menerima pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
Enam unit pertama pesawat ini tiba di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, Pakistan, dan secara rasmi ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan (PAF) pada 11 Mac 2022.
