Pesawat Pejuang F-16 Singapura Terima Pakej Permodenan, Naik Taraf Terbaru Bernilai RM39 Juta
Pakej pemodenan dan naik taraf terbaru F-16 Singapura itu akan membawa nilai pakej keseluruhan program itu kepada US$1.1 billion (RM4.9 billion) dan akan memastikan pesawat pejuang F-16 milik republik itu memenuhi keperluan peperangan udara era moden.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pesawat-pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) bakal menerima pakej permodenan dan naik taraf terbaru menerusi kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat Lockheed Martin bernilai US$8.7 juta (RM39 juta).
Pakej pemodenan dan naik taraf terbaru F-16 Singapura itu akan membawa nilai pakej keseluruhan program itu kepada US$1.1 billion (RM4.9 billion) dan akan memastikan pesawat pejuang F-16 milik republik itu memenuhi keperluan peperangan udara era moden.
Kerja-kerja pemodenan dan naik taraf dibawah pakej terbaru ini akan dilaksanakan di Fort Worth, Texas, dan dijangka selesai pada 31 September 2027.
Salah satu aspek penting dalam program pemodenan dan naik taraf terbaru ini adalah, walaupun ia melibatkan syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang diterajui oleh Lockheed Martin, pemodenan pesawat F-16 Singapura itu akan turut menggabungkan peralatan, persenjataan, dan avionik berasal dari Israel.
Ini termasuk integrasi peluru berpandu udara-ke-udara Python-5 keluaran RAFAEL dan Helmet Display and Sight (DASH) daripada Elbit Systems, selain keupayaan-keupayaan lain.
Kontrak ini sudah semestinya akan mengukuhkan lagi kerjasama antara Lockheed Martin dan Singapura.
Pakej pemodenan dan naik taraf terbaru ini juga mengukuhkan lagi kepentingan strategik armada F-16 yang dinaik taraf dalam mengekalkan keselamatan serantau dan keupayaan pertahanan negara.
Peningkatan ini meletakkan Singapura dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran strategik jangka panjang sambil memastikan angkatan udara yang berkemampuan dan berkesan untuk operasi masa depan.
Juga adalah penting untuk menyebut kelulusan dan pakej perolehan lain yang berkaitan dengan armada pesawat pejuang F-16 Singapura.
Antaranya termasuk kelulusan terkini bagi potensi penjualan 54 peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120C-8 AMRAAM untuk digunakan oleh pesawat Fighting Falcon dan F-15 Eagle yang sedang beroperasi.
Pada Jun tahun lepas, Tentera Udara Singapura mengesahkan bahawa ia telah mengintegrasikan peluru berpandu udara-ke-udara Python-5 sebagai sebahagian daripada program Mid-Life Upgrade (MLU) terhadap pesawat-pesawat pejuang Lockheed Martin F-16 C/D/D+ miliknya,
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat generasi kelima “Python-5” itu dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Rafael Advanced Defense System dan dikatakan adalah peluru berpandu udara-ke-udara paling berkemampuan digunakan oleh Tentera Udara Israel, boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 4 dan jarak operasi 20km.
Tentera Udara Singapura memiliki 62 buah pesawat pejuang F-16C/D Block 52, dengan 14 daripada pesawat itu ditempatkan di Luke Air Force Base di Arizona, Amerika Syarikat manakala 48 buah pesawat ditempatkan di pangkalan udara dalam negara.
Penempatan sejumlah pesawat itu ditempatkan di Amerika Syarikat untuk tujuan latihan.
Amerika Syarikat membekalkan Singapura dengan 62 buah pesawat F-16 itu di antara 1998 hingga 2003.